Saturday, February 5, 2011

Pelajar dalam dilema

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Walaupun proses pemindahan sudah bermula, namun masih ada lagi pelajar yang enggan meninggalkan Mansoura berikutan Universiti Mansoura tidak mengeluarkan sebarang pekeliling berhubung penangguhan kuliah.

“Mereka (Universiti) bertegas mahu memulakan kelas seperti biasa bermula 19 Februari ini menyebabkan ramai pelajar dalam dilema. Bagaimanapun ramai pelajar Malaysia pulang ke tanah air menggunakan pesawat komersial,” kata seorang pelajar perubatan Malaysia, Siti Hajar Maryam Baki, 21.


Dia yang dihubungi Harian Metro berkata, semua pelajar warga Malaysia diminta mengisi borang evakuasi oleh pengurusan misi menyelamat berhubung proses pemindahan mereka yang akan dilakukan dengan menaiki 22 bas jam 6 pagi esok (hari ini).

“Semua pelajar perubatan berkumpul di hadapan Hotel New Mansoura dan menaiki bas menuju ke Iskandariah sebelum menaiki pesawat ke Jeddah. Proses pemindahan sepatutnya dilakukan hari ini (Jumaat), namun ditangguh berikutan kebimbangan tercetus huru-hara selepas solat Jumaat di seluruh Mesir.


“Kami turut berbincang mengeluarkan wang di Jeddah dan membeli tiket penerbangan pulang ke tanah air,” katanya.


Menurutnya, keadaan mereka yang sibuk dengan persiapan perpindahan menyebabkan mereka makan sekali sehari menjadikan makaroni goreng santapan harian. “Kami bernasib baik masih mempunyai bekalan beras, tepung dan makaroni mentah walaupun rata-rata kehabisan wang. Lebih memeritkan harga makanan melonjak naik berikutan peniaga mengambil kesempatan situasi darurat.

“Bagaimanapun pelajar yang tiada wang boleh mendapatkan bantuan pengerusi dan biro kebajikan pelajar di sini. Malah simpanan Dolar Amerika masih boleh ditukar ke nilai wang pound Mesir,” katanya.


Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, jalan di sekitar Mansoura masih lengang dengan aktiviti penduduk kebanyakan berdiam diri di rumah. Penduduk turut melakukan rondaan waktu malam di kawasan perumahan berikutan berlaku jenayah pecah rumah,” katanya yang patuh waktu perintah berkurung ditetapkan.

Menurutnya, bilangan askar di jalan raya kian ramai bagaimanapun anggota tentera terbabit sangat menghormati penduduk dan pelajar Malaysia di sini khususnya.


“Lebih menggembirakan apabila Internet pulih dan kebanyakan pelajar menggunakan program VOIP di Internet menghubungi keluarga di Malaysia,” katanya.


Berhubung dakwaan pelajar Malaysia dirogol dan di rompak, Hajar mendakwa khabar angin itu mengarut. Persatuan pelajar memastikan kebajikan mereka.

http://www.hmetro.com.my/articles/2011020502243120110205022431/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...