Saturday, February 5, 2011

Pelajar M'sia mula dihantar pulang dari Jeddah

Feb 5, 11 10:53am

Kumpulan pelajar Malaysia yang berjaya dibawa keluar dari Kaherah, Mesir ke sini akan dihantar pulang ke tanah air secara berperingkat-peringkat bermula hari ini.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Datuk Mohd Hidayat Abdul Hamid berkata keutamaan akan diberi kepada pasangan suami isteri yang mempunyai anak kecil, mereka yang uzur, wanita dan mereka yang sakit.

"Buat masa ini, keutamaan kita (ialah) pada mereka yang uzur dan yang memerlukan perhatian yang sewajarnya. Kita akan mengambil tindakan yang sebaik mungkin untuk memastikan kebajikan pelajar yang ada anak kecil (dan) uzur akan dihantar pulang dengan segera.

"InsyaAllah akan bermula esok (Sabtu) penghantaran pulang pelajar ke Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia di Jeaddah pada Jumaat.

Pada masa yang sama beliau meminta semua ibu bapa dan keluarga pelajar supaya bersabar menunggu kepulangan anak masing-masing.

"Mereka (pelajar) yang berada di sini semuanya selamat, dan kita akan pastikan mereka berada dalam keadaan yang baik dan InsyaAllah mereka akan dihantar balik ke Malaysia," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga pukul 9.20 malam waktu tempatan (2.20 pagi waktu Malaysia), seramai 1,036 pelajar telah berjaya dibawa keluar dari Kaherah oleh pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 747 serta AirAsia dan kini ditempatkan di pusat transit Madinatul Hujaj di sini.

Lebih ramai pelajar dijangka tiba menerusi satu lagi penerbangan MAS pada lewat malam ini (Jumaat), katanya.

Mengenai baki pelajar yang belum tiba di Jeddah, beliau berkata menurut maklumat yang diterima, kesemua mereka masih berada dalam keadaan yang baik.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.


Sejak seminggu lalu, berpuluh ribu rakyat keluar ke jalan-jalan raya di negara itu bagi mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Hosni Mubarak yang telah memerintah Mesir selama 30 tahun, agar segera berundur.

Tunjuk perasaan berlaku di bandar-bandar besar termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/155247

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...