Saturday, February 5, 2011

Ikhwan kekal tuntutan

DUBAI: Pembangkang utama Mesir, Ikhwanul Muslimin bersedia berunding mengenai pemindahan kuasa daripada pemerintahan Presiden Hosni Mubarak sebaik beliau meletak jawatan.

“Kami bersama dengan semua parti politik yang menyokong dialog dengan sesiapa saja yang mahu melaksanakan pembaharuan di negara ini selepas perletakan jawatan pemimpin yang zalim dan rasuah,” kata pemimpin tertinggi Ikhwan, Mohammed Badie kepada televisyen Al-Jazeera, semalam.


“Kami mempunyai satu tuntutan. Sebaik ia dipenuhi, kami sedia berunding,” katanya, ketika ditanya mengenai kesediaan Ikhwan untuk berbincang dengan naib presiden yang baru dilantik, Omar Suleiman.

Dalam ucapan menerusi televisyen sebelum ini, Omar menyatakan rancangan untuk berbincang dengan parti pembangkang, termasuk Ikhwan.


“Kami mempelawa mereka berunding. Tetapi mereka menolak,” kata Omar mengenai Ikhwan, yang secara rasminya diharamkan di Mesir.


Jurucakap Ikhwan, Mohammed Mursi berkata Khamis lalu, pihaknya menolak semua bentuk dialog dengan rejim itu.

Mohammed Badie, dalam wawancara semalam berkata, perletakan jawatan Hosni yang memerintah Mesir sejak 32 tahun lalu adalah tuntutan seluruh rakyat Mesir.


“Rakyat mahu beliau meletak jawatan hari ini. Rakyat tidak mahu beliau menangguhkan perletakan jawatannya, walaupun untuk satu jam lagi. “Rejim yang rasuah itu mesti meletak jawatan hari ini,” katanya.

Menurutnya, perletakan jawatan itu akan disusuli dengan tempoh peralihan di bawah pemerintahan naib presiden dengan mandat yang penuh.


Kerajaan Mesir menuduh Ikhwan cuba mengambil kesempatan terhadap tunjuk perasaan yang mengkucar-kacirkan negara itu sejak 11 hari lalu. Ikhwan menguasai rangkaian bantuan sosial yang berpengaruh di Mesir. - AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ikhwankekaltuntutan/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...