Saturday, February 5, 2011

Hosni bosan, mahu berundur


HOSNI MUBARAK berbual dengan wartawan stesen televisyen ABC dari Amerika Syarikat, Christiane Amanpour dalam temu ramah selama 30 minit di Istana Presiden, Kaherah kelmarin.


WASHINGTON - Presiden Mesir, Hosni Mubarak kelmarin menyatakan beliau berasa bosan selepas 62 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

"Saya berasa bosan. Selepas 62 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam, saya rasa sudah mencukupi. Saya mahu berundur," kata Hosni yang berumur 82 tahun dalam satu temu ramah dengan wartawan terkenal, Christiane Amanpour dari stesen televisyen Amerika Syarikat (AS), ABC.

"Jika saya meletakkan jawatan hari ini, akan berlaku huru-hara," katanya.

Hosni menyalahkan Pergerakan Persaudaraan Muslim yang menjadi pembangkang di Mesir kerana keganasan yang berlaku di Kaherah sejak 25 Januari lalu.

"Saya tidak berasa gembira dengan apa yang berlaku kelmarin. Saya tidak mahu melihat penduduk Mesir bergaduh sesama mereka," kata Hosni kepada Amanpour.

Para penunjuk perasaan yang mendesak peletakan jawatan Hosni menyalahkan kumpulan penunjuk perasaan pro-Hosni kerana melepaskan tembakan ke arah orang ramai selain membawa pisau dan batang kayu di Dataran Tahrir, Kaherah yang merupakan tempat lokasi perhimpunan tunjuk perasaan.

Komen Mubarak berhubung Pergerakan Persaudaraan Muslim itu dibuat selepas Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman menyatakan pergerakan tersebut telah dijemput untuk bertemu dengan pentadbiran baru selepas rombakan Kabinet sebagai sebahagian daripada dialog negara dengan semua parti.

Ketika ditanya mengenai perasaannya apabila orang ramai menjerit dan mahu beliau berundur, Hosni berkata: "Saya tidak peduli apa yang orang perkatakan mengenai saya. Buat masa ini, saya mengambil berat mengenai negara saya, saya mengambil berat mengenai Mesir."

Sejak protes menuntut peletakan jawatannya selepas 29 tahun berkuasa, Hosni muncul dua kali di televisyen tetapi tidak muncul di khalayak ramai.

Dalam penampilan di televisyen sebelum ini pada Selasa lalu, beliau menyatakan tidak akan bertanding untuk mengekalkan jawatannya dalam pilihan raya September depan.

Namun, kenyataan itu tidak memuaskan hati para penunjuk perasaan yang mahu beliau berundur.

Hosni memberitahu Amanpour dalam temu ramah terbarunya itu bahawa beliau berasa lega selepas menyatakan tidak akan bertanding semula.

Menurutnya, beliau tidak pernah berhasrat untuk menjadikan anaknya, Gamal sebagai Presiden seperti yang dipercayai kebanyakan orang.

Semasa ditemu ramah itu, Gamal berada bersamanya.

Hosni turut menganggap Presiden AS, Barack Obama sebagai seorang lelaki yang baik tetapi teragak-agak memberikan jawapan semasa ditanya jika beliau berasa dikhianati oleh AS.

Sebelum ini Obama menyatakan Hosni sepatutnya memulakan proses melakukan peralihan kuasa secara aman.

Hosni berkata, beliau pernah memberitahu Obama bahawa: "Anda tidak memahami kebudayaan Mesir dan apa yang akan terjadi jika saya berundur sekarang."

Menurut Amanpour, beliau pergi ke Istana Presiden untuk membuat temu ramah dengan Naib Presiden Mesir pada mulanya tetapi bertanya kepadanya sama ada Hosni juga boleh diwawancara.

"Dalam tempoh apa yang dilihat cuma beberapa minit, saya dibawa ke sebuah bilik besar di mana beliau (Hosni) sedang menunggu," kata Amanpour dalam blognya.

"Beliau (Hosni) menyambut saya dengan mesra dan kami mula berbual. Beliau (Hosni) kelihatan penat tetapi sihat," katanya.

Amanpour berkata, Hosni memberikan persetujuan apabila beliau meminta sama ada perbualan itu boleh dilaporkan. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...