SANAA: Presiden Yaman memberitahu Parlimen semalam, dia tidak akan cuba mendapatkan mandat baru meneruskan tugasnya atau menyerahkan jawatan itu kepada anak lelakinya.
Langkah itu dilihat pemerhati sebagai reaksi segera Ali Abdullah Saleh menghadapi protes rakyatnya yang bosan dengan kegagalan pentadbiran presiden berkenaan, selain mendapat inspirasi daripada kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir.
Menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat, Ali berkuasa sejak hampir 32 tahun lalu.
Berucap kepada Parlimen semalam, Ali berkata, dia tidak akan melanjutkan tempoh pemerintahannya untuk penggal akan datang.
“Saya juga tidak akan mewariskan jawatan ini kepada anak saya,” katanya.
Sebelum itu, Ali cuba meredakan ketegangan di Yaman dengan menaikkan gaji tentera dan menafikan dakwaan pembangkang yang yakin dia cuba menyerahkan kuasa kepada anak lelakinya.
Bagaimanapun, pengumuman Ali itu gagal melunakkan hati penunjuk perasaan di Sanaa.
Pada Januari lalu, puluhan ribu rakyat Yaman berdemonstrasi beberapa hari untuk mendesak Ali berundur - satu tindakan yang tidak dijangka berani dilakukan mereka sebelum ini.
Penggal pemerintahan Ali sepatutnya berakhir pada 2013 tetapi dia bercadang mengemukakan usul meminda Perlembagaan bagi membolehkannya terus berkuasa untuk tempoh dua penggal lagi.
Setiap penggal memakan masa lima tahun.
Protes di Tunisia dan Mesir turut memaksa Ali mengarahkan cukai pendapatan di Yaman dipotong separuh, selain kerajaan dikerah mengawal harga barang keperluan.
Ali juga mengerah polis antirusuhan ke beberapa kawasan penting di Sanaa dan sekitarnya.
Namun, dalam keadaan begitu pun, penunjuk perasaan serta anak muda Yaman tetap tidak gentar, sebaliknya terus mengadakan bantahan terbuka.
Semalam, Ali juga menggesa pembangkang bertemu dengan kerajaan untuk berunding, tetapi ditolak.
Jurucakap pembangkang, Mohammed al-Sabri, berkata mereka tetap tidak percaya dengan janji dibuat Ali.
“Dia pernah berjanji begitu pada 2006 tetapi dimungkiri,” katanya. - AP
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Aliterpaksaakurtekanan/Article/index_html
No comments:
Post a Comment