Friday, February 4, 2011

“Saya tidak pernah dera mereka”


KUALA TERENGGANU – Penderaan didakwa empat beradik di daerah Setiu dilakukan bapa mereka sendiri yang mendapat liputan meluas akhbar harian mendorong bapa kepada kanak-kanak malang itu tampil membuat pengakuan kepada Sinar Harian setelah dibebaskan pihak berkuasa tanpa sebarang jaminan.

Bapanya yang dikenal sebagai Pak Nik berkata, dia cukup kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya menuduh mendera keempat-empat anaknya.

“Saya terkejut apabila tiba di balai polis Setiu, ditangkap atas tuduhan mendera anak saya, kerana semua itu adalah tidak benar seperti apa yang dilaporkan oleh anak saya, Tengku Khatijah, 14.

“Saya tidak pernah mendera mereka kerana dalam soal mendidik anak, tiada istilah dera tetapi hanya untuk kebaikan mereka pada masa akan datang supaya menjadi seorang manusia yang berguna kepada masyarakat,” katanya sambil berlinangan air mata mengenangkan nasib yang menimpanya.

Menurutnya, setiap ibu bapa dibenarkan merotan atau memukul anak mereka bagi tujuan mendidik, tiada ibu bapa yang sanggup merotan atau memukul anak-anak sehingga sampai ke tahap mendera.

“Budak-budak bukan dia tahu apa pun, orang cakap kena pukul, dera, dia iyakan saja sedangkan pukul untuk mendidik itu adalah berbeza maksudnya malah saya yakin, semua ibu bapa faham apa yang saya maksudkan,” katanya.

Mengulas berhubung kenyataan yang dikeluarkan Khatijah mengenai cucuh api rokok, Ayah Nik berkata, luka akibat api rokok seperti yang didakwa anaknya itu benar, tetapi ketika kejadian itu berlaku dalam keadaan tidak sengaja.

“Pada hari itu, ada kawan saya datang rumah dan sedang leka berbual sambil menghisap rokok, secara tidak sengaja api rokok terkena tangannya kerana ketika itu dia berada di belakang saya.

“Saya tidak membawa dia ke klinik kerana tidak mempunyai duit untuk mendapatkan rawatan malah hanya membiarkan lukanya sembuh sendiri tetapi ada juga menggunakan ubat tradisional,” katanya.


Pernah bagi anak kepada keluarga angkat


Akibat kemiskinan, Pak Nik pernah menyerahkan empat anaknya kepada keluarga angkat tetapi tidak bertahan lama kerana keluarga angkat tidak tahan dengan kerenah mereka.

“Pernah beberapa kali keluarga angkat mengambil anak saya untuk dijaga kerana saya hidup miskin, tetapi hanya bertahan dua minggu kerana kenakalan anak-anak yang menyebabkan keluarga itu tidak sanggup menjaga mereka,” katanya.

Orang kampung pernah menuduh saya tidak pandai mendidik anak tetapi pada hakikatnya pelbagai cara dilakukan untuk memastikan mereka menjadi seorang anak yang baik.

“Hanya keluarga angkat yang pernah menjaga mereka sahaja memahami keadaan saya yang terpaksa menahan sabar menghadapi kerenah mereka berempat,” katanya.


Miskin punca anak melarikan diri


Dia merasakan masalah kemiskinan adalah punca berlakunya pergolakan itu sehingga menyebabkan anaknya lari dari rumah dan menuduh dia mendera mereka.

“Saya tinggal di pondok usang yang tidak berdinding dan hanya melakukan kerja menanam pokok buah-buahan seperti pisang, betik dan sebagainya untuk menyara keluarga.

“Bantuan daripada mana-mana pihak tidak pernah dapat sedangkan ada beberapa jabatan pernah datang untuk mengambil gambar keadaan rumah saya tetapi tiada sebarang tindakan susulan,” katanya ketika ditemu bual Sinar Harian di kafe Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu semalam.

Pengakuan itu dibuat apabila tersebarnya kisah empat beradik Tengku Khatijah, 14, Tengku Siti Noras’syakirren, 10, Tengku Mohd Al-Moqarobin, 7, dan Tengku Siti Nor Asy’adah, 8 yang mendakwa didera bapanya di Kampung Beris Tok Ku, Setiu.

http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story8712183.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...