SEPANG: Bagi seorang pelajar tahun pertama jurusan pergigian Universiti Al-Azhar, pengalaman diacukan pistol ke kepala ketika berada di Mesir bakal menjadi sejarah yang tidak akan dilupakannya seumur hidup.
Siti Nabilah Mohd Azaman, 20, berkata kejadian menakutkan itu berlaku ketika beliau dan empat rakan keluar ke kedai berhampiran untuk menambah nilai prabayar telefon bimbitnya bagi menghubungi keluarga di tanah air.
"Sedang berjalan kaki menuju ke kedai, kami terkejut apabila seorang warga tempatan yang tidak dikenali mengacukan pistol ke kepala kami, dan menyuruh kami pulang ke rumah.
"Tanpa melengahkan masa kami yang ketakutan terus berlari pulang," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini, Jumaat.
Ibunya, Zamilah Nawi berkata beliau yang telah dua hari tidak dapat tidur kerana bimbangkan keselamatan anak gadisnya itu bersyukur Siti Nabilah selamat pulang ke tanah air.
Muhammad Amiri Ab Ghani, 36, berkata beliau dan 150 rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah terpaksa membuat demonstrasi membantah tindakan syarikat penerbangan EgyptAir yang sering membatalkan penerbangan pada saat-saat terakhir.
Pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) itu berkata beliau tiba di Mesir pada 26 Jan untuk mengunjungi Pameran Buku Antarabangsa di sana bagi membeli buku-buku keperluan kolej.
"Kami terkandas di lapangan terbang selama dua hari akibat penerbangan dibatalkan tetapi selepas berdemonstrasi, barulah EgyptAir memasukkan kami secara berasingan dalam beberapa penerbangan ke Jeddah," katanya.
Sementara itu, pelajar jurusan perubatan Universiti Iskandariah, Mohd Faiz Abbas, 22, berkata beliau pada mulanya tidak menyedari rusuhan di negara itu serius pada hari pertama insiden meletus.
Katanya beliau dan rakan-rakan hanya menyedari keadaan adalah buruk apabila keluar dari rumah pada hari kedua rusuhan dan melihat beberapa trak polis dan balai polis terbakar.
"Alhamdulillah pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) banyak membantu dalam menjaga keselamatan kami sepanjang tempoh rusuhan," katanya menuntut dengan pembiayaan Mara.
Ahli perniagaan, Shakeela Khanam, 42, yang turut terkandas di Mesir selama tiga hari berkata beliau bersimpati melihat rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di sana akibat pembatalan penerbangan.
"Mereka terpaksa tidur di atas lantai, kadang-kadang tidak beralas, ada yang tidak mempunyai wang lagi setelah membeli tiket, dan banyak lagi situasi di sana jadi kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi mengeluarkan mereka dari sana," katanya.
Difahamkan sekurang-kurangnya 50 rakyat Malaysia pelbagai golongan termasuk pelajar tiba di KLIA hari ini atas perbelanjaan sendiri melalui pelbagai penerbangan termasuk EgyptAir, Etihad Airways, Gulf Air dan Saudi Arabian Airlines.-BERNAMA
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/2/4/mstar_berita/20110204171649&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment