Friday, February 4, 2011

SMS pilu

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

IPOH: “SMS (khidmat pesanan ringkas) terakhir yang saya terima pagi tadi (semalam) memaklumkan dia kini terpaksa berkurung dalam rumah sewanya bersama beberapa rakan lain selain hanya mengalas perut dengan roti cecah kuah setiap hari sejak seminggu lalu,” kata Eashah Alias, 63, ibu kepada Meor Abdul Rahman Meor Sidek, 27, antara penuntut Malaysia yang menuntut di Kaherah, Mesir.

Meor Abdul Rahman yang kini mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam jurusan Tahfiz al-Quran di Ma’ahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra, Kaherah adalah antara penuntut Malaysia yang terperangkap dan hidup dalam ketakutan selepas negara berkenaan berdepan krisis politik minggu lalu.


Eashah yang juga ibu tunggal tujuh anak itu kini hanya mampu menitiskan air mata setiap hari apabila terkenangkan nasib anaknya itu.

Wanita itu yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran berkata, dia hanya dapat mengetahui nasib anaknya itu menerusi beberapa SMS yang dihantar sejak minggu lalu memaklumkan beberapa masalah dihadapi termasuk terputus bekalan makanan, kebimbangan kejadian pecah rumah dan keganasan.


Menurutnya, anaknya turut memaklumkan, rusuhan hampir setiap malam menyebabkan anaknya bersama rakan lain tidak berani keluar.


Katanya, pagi semalam, anak ketiganya, Marina Meor Sidek, 36, yang menetap di Jepun menghubungi Meor Abdul Rahman kira-kira jam 5 pagi semalam.

“Menerusi panggilan itu, anak saya masih berkurung dalam rumah sewanya bersama puluhan penuntut senegara dan memaklumkan, pegawai kedutaan Malaysia di Mesir sudah menghubunginya dan mereka kini menunggu arahan seterusnya bagi kerja membawa mereka pulang.


“Sebelum ini, saya bimbang anak saya tidak mendapat perhatian daripada kedutaan kerana anak saya tidak bernaung di bawah mana-mana tajaan ketika menyambung pelajaran di negara itu,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Mas, Chepor, dekat sini, semalam.

Eashah berkata, pada mulanya dia bimbang anaknya tidak disenaraikan dalam senarai keseluruhan 11,000 penuntut yang menuntut di Mesir.


“Saya juga bersyukur kerana kerajaan mengambil langkah tepat untuk menyelamat serta membawa pulang kira-kira 11,000 penuntut yang berada di negara berkenaan,” katanya.


Menurut Eashah, anaknya itu baru saja berangkat ke Mesir pada 12 Januari lalu selepas pulang untuk cuti semester selama empat bulan.


Katanya, dia berharap anaknya dapat pulang dengan selamat biarpun sebelum ini dia keberatan membenarkannya kerana anaknya itu berada pada tahun ketiga pengajian.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SMSpilu/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...