KAHERAH: Tentera Mesir semalam menggesa rakyat negara itu menamatkan tunjuk perasaan untuk menggulingkan Presiden Hosni Mubarak yang sudah berlarutan sejak lebih seminggu lalu.
Tentera juga mengisytiharkan sokongan terhadap Hosni, beberapa jam selepas presiden itu menolak desakan supaya meletak jawatan serta-merta.
Perisytiharan itu adalah perubahan jelas dalam pendirian tentera yang sebelum ini membayangkan sokongan terhadap penunjuk perasaan dengan berkata, ia tidak akan menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan dan menyifatkan tuntutan mereka berasas.
Dalam mesejnya, pihak tentera merayu penunjuk perasaan muda menghentikan bantahan mereka ‘demi cinta mereka kepada Mesir.’ “Anda keluar untuk menyuarakan tuntutan anda dan anda adalah orang yang berupaya untuk mengembalikan kehidupan normal di Mesir,” kata jurucakap tentera, Ismail Etman dalam ucapan menerusi televisyen.
“Mesej anda sudah diterima dan tuntutan anda sudah diberi perhatian.” Sejurus selepas ucapannya, televisyen menyiarkan mesej berbunyi: “Pihak tentera menyeru penunjuk perasaan kembali ke rumah masing-masing demi untuk mengembalikan kestabilan.” Dalam perkembangan lain, perkhidmatan Internet kembali di negara itu selepas dihentikan selama beberapa hari oleh kerajaan. Sementara itu, semakin ramai penduduk Mesir menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku kekurangan makanan jika tunjuk perasaan berterusan. - AP
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tenteragesatamatkantunjukperasaan/Article/index_html
No comments:
Post a Comment