Friday, February 4, 2011

Kuala Ketil akan muncul sebagai bandar baharu

Muhayat Jasmin

KUALA KETIL, 1 Feb: Dengan terbinanya Kolej Universiti Insaniah (KUIN) kampus Kuala Ketil yang menelan perbelanjaan sekitar RM330 juta pada 2013 nanti, Kuala Ketil mampu untuk muncul sebagai salah sebuah bandar baharu di Kedah tidak lama lagi.

Mengulas mengenai perkembangan pembinaan KUIN, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, kerja-kerja pembinaan kampus ini mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ia juga telah mencapai tahap 10 peratus kemajuan sehingga hari ini.

Menurut beliau, dengan terbinanya KUIN nanti, Kuala Ketil akan muncul sebagai sebuah bandar baharu setanding dengan Bangi di Selangor yang mempunyai Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga seganding dengan Sintok yang mempunyai Universiti Utara Malaysia.

Katanya lagi Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik kepada rakyat negeri Kedah terutamanya dalam bidang pendidikan dan pengetahuan sepertimana yang dilakukan terhadap pembinaan kampus induk KUIN ini.

Sebelum ini pelajar kampus Alor Setar telah menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pihak pengurusan kerana masalah kemudahan asas yang tidak mencukupi bagi menampung pertambahan pelajar di kampus tersebut.

KUIN Kuala Ketil juga dijangka akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang dihadapi oleh pelajar KUIN sepertimana yang disuarakan oleh mereka melalui demonstrasi aman di kampus Alor Setar sebelum ini.

Tambah Azizan lagi, para pelajar di kampus baru KUIN tidak akan menghadapi masalah kekurangan sepertimana yang dialami di kampus Alor Setar, kerana kampus induk di Kuala Ketil akan menyediakan segala kelengkapan bagi memenuhi kehendak pelajar.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30661:kuala-ketil-akan-muncul-sebagai-bandar-baharu&catid=50:negeri-kedah-darul-aman&Itemid=95

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...