GOMBAK, 10 Feb: Dua pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) bersetuju, Gerakan Islam di kebanyakan negara umat Islam akan mencapai kemenangan melebihi 90 peratus sebaik sahaja demokrasi dibuka sepenuhnya di negara terbabit.
Exco DPPP, Ustaz Riduan Mohamad Nor dan Pengarah Jabatan Kajian Dasar (IPS) DPPP, Dr Zuhdi Marzuki berkeyakinan, pengaruh itu akan merebak dan kemenangan juga akan dapat dicapai di negara tercinta ini.
Kerana itu, menurut mereka, usaha mengajak semua golongan rakyat termasuk anak-anak muda memahami keperluan menyedari kepentingan mengambil berat urusan jatuh bangun umat Islam merupakan kewajipan bersama.
Mereka berdua berbicara demikian ketika menjadi panelis di dalam Majlis Meperingati Kesyahidan Al-Imam Hassan A-Banna yang diadakan di Pejabat PAS Kawasan Gombak, dekat sini semalam.
Menurut Ustaz Riduan, kejayaan membangkitkan semangat rakyat Mesir untuk berhimpun di Dataran Merdeka, Kaherah adalah hasil kesedaran rakyat terhadap peri pentingnya ruang demokrasi mesti dibuka setelah mereka tertekan lebih 30 tahun.
Katanya, perjuangan Hassan Al-Banna (1906-1949) menubuhkan Ikhwan Muslimin di negara itu sejak Mac 1928 setelah melakukan gerakan ilmiah dan tarbiyah ilmi dapat dilihat dengan kebangkitan rakyat Mesir sejak akhir Januari lalu.
"30 peratus daripada mereka adalah golongan muda yang boleh melayari internet dan dapat memahami situasi semasa dengan menggunakan teknologi canggih," tegasnya yang meminta aktivis di sini memanfaatkan media facebook sebagai contoh, untuk meluaskan medan dakwah.
Katanya, Ketua Ulamak Antarabangsa, Prof Dr Yusuf Al-Qardhawy menggunakan media terjahan langi terbuka ini sehinggakan informasi, ilmu, maklumat, fatwa dan arahannya dapat diikuti dan dilaksanakan di seluruh dunia mutakhir.
Sementara itu, Dr Zuhdi pula menyatakan, jika pun kebangkitan rakyat di Mesir tidak mencapai maksud tertinggi yang mereka inginkan namun paling maksima, peristiwa ini menyumbang ke arah demokrasi.
"Kebangkitan ini bukan sahaja membawa kesan besar kepada proses demokrasi lebih baik di negara Mesir, ia juga membawa makna lebih bermakna kepada pengaruh kebangkitan rakyat di negara-negara Islam lain.
"Lihatlah reformasi yang pernah berlaku di Indonesia sebagai contoh pada 1998, ia membawa kesan langsung dan tidak langsung kepada kejayaan, walaupun masih sedikit di Malaysia pada 2008.
"Begitulah harapnya kebangkitan di Tunisia dan Mesir ini yang dijangkakan akan membawa kepada kesan sama kepada negara-negara Arab berjiran dalam usaha menghapuskan kekangan negara PIGS," tegasnya.
Dr Zuhdi berkata selama ini negara-negara PIGS itulah seperti Portugal, Italy, Greece dan Sepanyol menjadi penghalang kepada pembukaan kejayaan gerakan umat Islam bergerak lebih jauh dan kini empat negara itu sedang merudum dalam semua aspek.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa pendokong gerakan Islam di negara ini dapat memikirkan bagaimana cara untuk menghantar mesej perjuangan kepada seluruh rakyat melalui media penyiaran sepertimana di Mesir.
Beliau lebih cenderung mengaitkan perkembangan kebangkitan yang berlaku di negara tersebut adalah hasil daripada kerjabuat yang dilaksanakan oleh media penyiaran seperti Al-Hiwar, Al-Jazeerah dan Al-Arabiah.
Jangkaan beliau, gerakan di Malaysia akan berjaya dalam masa lima hingga sepuluh tahun akan datang dengan syarat semua aktivis dapat melaksanakan tekad demi mencapai matlamat termasuklah mengadakan media penyiaran sendiri meskipun tidak berlesen.
Menurutnya, Al-Hiwar sebagai contoh dipancarkan daripada London di bawah pimpinan Dr Azzam Tamimi dengan memberikan maklumat, semangat dan motivasi kepada rakyat Mesir yang inginkan pembaharuan politik.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30783:gerakan-islam-menang-jika-demokrasi-dibuka&catid=1:utama&Itemid=50
No comments:
Post a Comment