Thursday, February 10, 2011

'Kadar jenayah turun, tak perlu polis bantuan'

'Kadar jenayah turun, tak perlu polis bantuan'
Feb 10, 11 6:39pm

Cadangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menubuhkan polis bantuan di negeri itu seolah-olah satu tanda beliau tidak menghargai sumbangan dan kejayaan Polis Diraja Malaysia dalam menangani jenayah serta menegakkan keamanan di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

NONEKatanya alasan yang diberikan oleh Khalid bahawa kewujudan pasukan itu adalah untuk mengurangkan kadar jenayah di Selangor juga tidak berasas kerana indeks jenayah di negeri itu menunjukkan penurunan.

"Saya tengok ini sebagai satu usaha untuk menidakkan kejayaan PDRM selama ini khususnya dalam konteks NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) di mana jelas menunjukkan penurunan kes-kes dan indeks jenayah di Selangor," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Putrajaya.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan hormat Ward Elcock, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Kanada mengenai penyeludupan manusia dan pendatang tanpa izin. Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia, Randolph Mank.

Hishammuddin menyifatkan cadangan penubuhan pasukan polis bantuan itu sebagai satu pembaziran wang yang sepatutnya disalurkan untuk kepentingan dan pembangunan rakyat negeri itu.

NONELagipun, katanya, Senarai 1 Jadual Ke-9 Perkara 74 dan Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa isu keselamatan dan pihak polis ialah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, justeru tugas mengawal keselamatan negeri dilaksanakan secara bersama oleh kerajaan pusat, PDRM dan agensi-agensi persekutuan yang lain.

Hishammuddin berkata beliau tidak faham matlamat dan niat sebenar menteri besar Selangor itu membangkitkan perkara tersebut ketika ini walaupun statistik menunjukkan bahawa indeks jenayah di negeri itu sudah menurun.

"Kita dalam landasan yang betul dalam menangani jenayah bukan sahaja di Selangor bahkan juga di negeri-negeri lain. Namun, saya tidak menafikan bahawa banyak yang perlu dilakukan lagi. Yang penting kita tidak boleh bazirkan duit rakyat," katanya.

http://malaysiakini.com/news/155706

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...