Thursday, February 10, 2011

Tender terbuka kontrak pembersihan MPSJ dialukan

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 10 Feb: Tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang mula melaksanakan tender terbuka untuk kontrak pembersihan dialu-alukan oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat namun mereka meminta yang dipertuanya menjawab rungutan yang menjadi isu.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud berkata, terdapat aduan daripada kalangan mereka terlibat yang tidak berpuas hati dengan bentuk pemilihan syarikat kontraktor yang didakwa tidak telus.

"MPSJ mempunyai 180 zon yang memerlukan kepada 180 tender yang disertai 7,000 permohonan daripada 1,124 syarikat yang membolehkan MPSJ mengutip wang jual borang sebanyak RM300 ribu dan mampu menjimatkan RM3.5 juta.

"Persoalannya sekarang bagaimana daripada 648 syarikat yang disenaraipendekkan itu dipilih; mereka mendakwa ada kebocoran berlaku dalam sistem, perkara inilah yang menjadi pertikaian mereka terlibat.

"Kerana itu, kami mencadangkan agar dilakukan sistem cabutan atau undian bagi memilih mereka dalam kalangan senarai pendek agar kebarangkalian untuk bersifat adil lebih dekat supaya semua pihak berpuas hati," tegasnya.

Dr Mariah bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membangkitkan persoalan ini di dalam sidang akhbar yang diadakan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam di Pusat Dagangan World Wide, dekat sini pagi tadi.

Turut bersama mengemukakan isu ini adalah Ahli Parlimen Kelana Jaya, Low Goh Burne, Adun Meru, Dr Abd Rani Osman dan Presiden Kelab Penyokong Menteri Besar Selangor (MBSC), Khairul Anuar Othman.

Sementara itu, Khalid berkata, isu ini menjadi penting kerana sebarang tindakan yang tidak melalui prosedur yang ditetapkan akan menimbul masalah kepada banyak pihak.

"Kami mahu YDP MPSJ menjawab persoalan, kenapa hendak dilaksanakan segera jika mekanisma pemilihan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan banyak pihak?

"Sewajarnya sebelum dilaksanakan, sistem ini mestilah dirujuk dan diluluskan oleh beberapa pihak termasuk kertas untuk penelitian mesyuarat kerajaan negeri (exco).

"Kami tidak terlibat di dalam urusan ini tetapi setelah mendengar rungutan banyak pihak, ia mesti dijawab oleh YDP berkenaan agar isu ini dapat segera berakhir," tegasnya.

Meskipun tindakan tersebut, jelasnya, dilakukan oleh MPSJ namun kesan negatif yang timbul sudah tentu akan membabitkan Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat.

Dalam isu sama, Dr Rani berkata, pemilihan tender tersebut mestilah berdasarkan ketelusan tidak kira kontraktor itu dari mana-mana parti politik sekali pun asalkan sistem itu bersih pelaksanaannya dan dilihat bersih.

Beliau juga berharap selepas ini, biarlah kawasan pembersihan itu diberikan kepada syarikat dan kontraktor di daerah tempat operasi mereka sebagai contoh; kawasan kerja di Meru, berilah kepada syarikat dari Meru.

Dr Rani turut bersetuju dengan saranan Low yang mencadangkan mereka yang memegang jawatan di semua majlis perbandaran diberikan tempoh berkhidmat sekitar tiga tahun sahaja.

Katanya, dengan cara itu, banyak perkara negatif seperti penyalahgunaan kuasa dapat dielakkan dan kebajikan rakyat lebih diutamakan daripada kepentingan kroni.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30790:tender-terbuka-kontrak-pembersihan-mpsj-dialukan&catid=58:negeri-selangor-darul-ehsan&Itemid=103

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...