SETIU: Air mata memenuhi kelopak mata seorang bapa selepas anaknya diumumkan antara pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, membuktikan anak buruh binaan juga mampu memperoleh kejayaan setanding pelajar lain di bandar.
Abdul Manaf Jusoh, 49, dari Kampung Mengabang Telong di sini, tidak dapat menahan sebak apabila dia bersama anak lelakinya, Amirul Hisyam, 18, dipanggil naik ke pentas menerima slip keputusan SPM dengan memperoleh 10A+, iaitu antara pelajar terbaik dan cemerlang di Sekolah Menengah Elit Lembah Bidong.
Bapa kepada tujuh anak itu melahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan anaknya keduanya itu.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Amirul Hisyam kerana menunaikan janjinya untuk membuktikan kepada kami sekeluarga yang anak buruh binaan mampu bersaing dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Dia berjanji kepada kami sekeluarga untuk buktikan dia boleh mencapai kejayaan dalam SPM dan dia menunaikan janjinya,” katanya.
Amirul Hisyam ketika ditemui berkata, dia bersyukur dengan kejayaan itu dan berterima kasih kepada ibu bapa serta guru yang sentiasa memberi tunjuk ajar selain usaha berterusan diri sendiri mengulangkaji pelajaran ketika berada di asrama.
Dia yang bercita-cita menjadi jurutera kimia akan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Airmataburuhbinaan/Article/index_html
No comments:
Post a Comment