Friday, March 25, 2011

‘Dia sudah buktikan’

Oleh Rosyahaida Abdullah
rosyahaida@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Membesarkannya memang ditemani air mata, namun hari ini dia membuktikan semua yang saya lalui berbaloi,” kata Khairulleza Khamsan, 47, ibu kepada Muhamad Faiz Danyal, 18, pelajar orang kurang upaya (OKU) di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki (SMKAB) di sini, semalam.

Muhamad Faiz yang mengalami hyperlexia iaitu permasalahan pertuturan dan terkebelakang dalam perlakuan sejak lahir itu memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumumkan semalam, iaitu 8A 1B.


Khairulleza berkata, kejayaan anaknya itu bukan mudah untuk dikecapi sebaliknya pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan anaknya mendapat ilmu sama seperti orang biasa.

Katanya, selain memanggil guru persendirian untuk mengajar Muhamad Faiz di rumah, dia juga terpaksa berhenti kerja ketika anaknya itu berusia tujuh tahun semata-mata ingin menumpukan sepenuh perhatian untuk menjaga Muhamad Faiz.


“Anak saya memang tidak boleh dipaksa untuk belajar kerana dia mudah tersinggung dan akan menangis ekoran simptom penyakitnya yang seperti keanak-anakan.


“Pernah juga saya hampir berputus asa untuk meneruskan persekolahannya gara-gara cemuhan orang ramai yang mengatakan anak saya tidak layak bergaul dengan orang biasa, tetapi dengan sokongan guru di sekolah ini, saya cekalkan hati,” katanya.

Difahamkan, Muhamad Faiz turut aktif dalam seni mempertahankan diri iaitu taekwando yang mana dia kini di tahap tali pinggang merah.


Ketika ditemui, Muhamad Faiz yang kelihatan gembira dengan pencapaiannya itu turut berkongsi kejayaan bersama rakan yang turut menerima keputusan cemerlang sepertinya.

Muhamad Faiz berkata, guru dan rakan banyak membantunya dalam kelas malah dia tidak pernah disingkirkan bagi sebarang aktiviti anjuran sekolah.


“Semua kawan banyak membantu saya dalam kelas dan cikgu pun selalu berikan tunjuk ajar,” katanya yang bercita-cita melanjutkan pengajiannya di universiti.


Sementara itu, Pengetua SMKAB, Latifah Mahfod, berkata daripada 212 pelajar yang mendaftar untuk SPM tahun lalu, seramai 52 pelajar lulus dengan cemerlang dengan mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011032403381020110324033810/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...