Friday, March 25, 2011

Chong Wei tetap tunggu Misbun kembali

Posted by admin on March 24th, 2011

Datuk Lee Chong Wei masih menaruh harapan kepada bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek untuk kembali membimbingnya, meskipun hampir empat bulan meletak jawatan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Chong Wei, yang baru dinobatkan juara All-England, berkata beliau memerlukan bantuan Misbun bagi menghadapi cabaran membawa pulang pingat emas pertama negara dari Sukan Olimpik London tahun depan.

“Saya harap Misbun akan kembali. Sukan Olimpik semakin dekat dan kehadiran Misbun amat penting untuk membantu saya,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan majlis amal ‘Hope & Smile’ bagi mengumpul derma bagi mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun, di sini, hari ini.

Chong Wei berkata, beliau akan menunggu mesyuarat BAM pada 1 April ini yang dijangka membincangkan isu Misbun serta kedudukan pembantu jurulatih Tey Siu Bock yang kini membantu pemain nombor satu dunia itu.

Misbun meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan pada 31 Disember tahun lalu dan sejak itu mengelakkan diri daripada pihak media yang ingin mengetahui punca sebenar tindakannya.

Walaupun BAM dengan sokongan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, menghantar surat tawaran memujuk beliau menyambung kontrak dengan BAM, Misbun sehingga kini masih belum memberi sebarang jawapan.

Ketika ditanya bagaimana sekiranya Misbun tetap dengan pendirian untuk tidak kembali kepada BAM, Chong Wei berkata, beliau akan tetap menunggu kepulangan Misbun.

Chong Wei berazam membantu mengumpul sekurang-kurangnya RM1 juta melalui majlis amal ‘Hope & Smile’ di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) pada April dan di Bukit Kiara, di sini pada keesokannya.

Jaguh negara itu akan menyumbangkan raket dan dua pasang pakaian yang digunakan beliau semasa menjuarai Kejohanan All-England dua minggu lepas bagi acara lelongan di samping menyertai perlawanan persahabatan.


http://www.kl-today.com/?p=15487

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...