Friday, March 25, 2011

Tumpukan sepenuh perhatian sewaktu dalam kelas

KUALA LUMPUR: “Tiada resepi luar biasa melainkan menumpukan sepenuh perhatian sewaktu di dalam kelas serta menyiapkan semua tugasan yang diberikan guru dengan sempurna,” kata May Lee Cai Ling, 18, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010, semalam.

Dia ialah antara ribuan calon SPM 2010 yang menerima keputusan peperiksaan itu semalam dan mencatatkan pencapaian membanggakan dengan perolehan gred A+ bagi kesemua 11 mata pelajaran yang diambil.


Cai Ling yang juga pelajar terbaik SPM 2010 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki (SMKAB) di sini, turut menjadi antara pelajar yang mendapat keputusan terbaik di peringkat kebangsaan.

Cai Ling berkata, walaupun kebanyakan rakannya mengambil kelas tambahan di pusat tuisyen berbayar di luar sekolah, dia memutuskan untuk tidak mengambil sebarang kelas tambahan kerana percaya sekolah adalah tempat terbaik untuk menimba ilmu di samping menjimatkan wang.


“Bagi saya, guru di sekolah sudah pun berusaha keras untuk memberi ilmu yang secukupnya kepada kami malah mereka sentiasa memastikan kami dapat menguasai segala yang diajar.


“Paling penting ialah bagaimana caranya kita memanfaatkan setiap saat yang dihabiskan di sekolah untuk memperoleh seberapa banyak ilmu dan jangan malu bertanya jika tak faham,” katanya yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran.

Di samping mendapat 11A+, Cai Ling turut memperoleh A bagi peperiksaan GCE O-Levels English 1119 dan London Chambers of Commerce and Industry (LCCI) menjadikannya pencapaiannya 13A.


Bapa Cai Ling, Lee Chee Seng, 54, berharap kejayaan Cai Ling akan melayakkan anaknya itu untuk mendapat pembiayaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pengajian di universiti nanti.

“Sepanjang membesarkannya, Cai Ling tidak pernah menjadi beban kepada saya dan isteri kerana dia seorang anak yang berdisiplin dan mendengar kata,” katanya yang berkongsi kejayaan Cai Ling bersama isterinya, Khaw Phaik Hoon, 53, di SMKAB di sini, semalam.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tumpukansepenuhperhatiansewaktudalamkelas/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...