Friday, March 25, 2011

‘Pengorbanan ibu’

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: “Saya hanya ingin melihat ibu gembira. Terlalu banyak pengorbanannya dalam membesarkan kami sembilan beradik selepas pemergian ayah kira-kira 11 tahun lalu akibat ketumbuhan dalam otak,” kata Faizah Omar, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tok Jiring yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Faizah antara 16 pelajar negeri ini yang mencatat keputusan cemerlang dalam SPM 2010 dengan empat pelajar memperoleh 11A+, enam pelajar (10A+) dan enam pelajar (9A+).


Faizah yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik memperoleh 11A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Pendidikan al-Quran & Al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab Tinggi.

Menurutnya, kepayahan ibu memerah keringat serta kejayaan abang dan kakak yang lain menyebabkannya berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran.


“Walaupun saya tidak merasai kasih sayang ayah, tetapi ibu memberikan sepenuh kasih sayang kepada saya. Bagi saya, dia bukan saja ibu, tetapi juga ayah yang sanggup mengorbankan hidupnya demi kejayaan kami.


“Mengenai pembelajaran, saya hanya memberi tumpuan di dalam kelas dan berbincang bersama rakan. Saya tidak mengikuti kelas tuisyen kerana percaya ilmu di sekolah sudah mencukupi selain membaca surah Yasin dan solat hajat sebagai amalan,” katanya yang berhasrat menjadi ahli farmasi.

Sementara itu, ibunya, Farinah Tan Abdullah, 55, menyifatkan Faizah anak yang berdikari dan membuktikan dia mampu berjaya walaupun tanpa kasih sayang bapa.


Katanya, segala pengorbanannya kini berbaloi apabila anaknya berjaya dalam bidang masing-masing termasuk empat lagi yang masih menuntut di institut pengajian tinggi.

“Arwah suami pergi ketika anak kami masih kecil. Malah, dia juga tidak sempat melihat wajah Faizah apabila menjadi buta disebabkan penyakit itu.


“Saya melakukan pelbagai kerja hanya untuk membesarkan mereka termasuk mengambil upah membungkus kuih,” katanya yang kini menjalankan kelas tuisyen Bahasa Inggeris bagi anak penduduk kampungnya.


Seorang lagi pelajar cemerlang, Wong Yujing, 18, dari SMK Sultan Ismail yang memperoleh 10A+ turut mencipta sejarah apabila mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Tasawwur Islam.


Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, kebanyakan rakan sekolahnya terdiri daripada kaum Melayu dan ia menjadi antara faktor yang membuatkannya berminat mendalami mata pelajaran itu.


“Tiada rahsia di sebalik kejayaan ini. Hanya fokus dan mendalami ilmu yang diberikan kerana segalanya ada di dalam buku teks.


“Selain tunjuk ajar guru dan rakan, saya turut terharu dengan sokongan ayah, Wong Tee Aan, 46, dan ibu, Ong Swee Leong, 46, yang tidak pernah menghalang keputusan saya mengambil mata pelajaran ini,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011032403500020110324035000/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...