Mac 24, 11
6:07pm
Bercakap dalam satu forum di ibunegara malam tadi, Azmi memberi contoh dengan membandingkannya dengan sikap rakyat barat yang kini sudah boleh menerima buku dan komik yang sebelum ini dianggap "ofensif dan berbaur perkauman".
Menurutnya, buku tersebut tidak dibenarkan untuk terbitan kerana menggunakan perkataan 'nigger' bagi orang kulit hitam dan komik yang menyiarkan pandangan yang berbaur perkauman.
"Ketika ini buku itu diterbitkan (semula), mereka telah (dapat) menerima apa yang suatu ketika dahulu (dikatakan) sebagai ofensif.
"Pemikiran masyarakat itu (sudah) mencapai satu tahap boleh menerima perkataan ini (nigger) dalam buku itu.
"Tetapi apa yang berlaku di Malaysia ialah rakyatnya belum mencapai satu tahap (untuk) menyatakan bahawa 'rasisme' itu adalah salah dan ia juga telah diinstitusikan," katanya dalam forum bertajuk Interlok: Antara Kesusasteraan, Pendidikan dan Hubungan Kaum, di ibu negara.
Forum yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG dengan kerjasama Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor (KLSCAH), National Interlok Action Team (NIAT) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Para hadirin memenuhi ruang bilik yang mampu memuatkan kira-kira 60 orang untuk mendengar forum tersebut.
Ahli panelnya terdiri daripada beberapa ahli akademik, aktivis sosial dan wakil persatuan penulis, antaranya pensyarah UPM, Dr Chong Fah Hing, AJK LLG dan juga kolumnis Merdeka Review Lee Ban Chen, Datuk Thasleem Ibrahim (presiden Niat) dan Uthaya Kumar SB (presiden Sasterawan Kavyan).
Kontroversi Interlok
Mengulas mengenai kontroversi novel Interlok karangan Sasterawan Negera Datuk Abdullah Hussin, Dr Azmi berkata novel tersebut perlu ditangani dengan "mengkaji dan mengkritik buku tersebut dari aspek kesejarahan dan kesusasteraan".
Walaupun mengakui belum membaca buku tersebut, Dr Azmi berpendapat ia juga harus dikaji dari aspek sosialnya, dan konteks dan bila sesuatu perkara itu wujud.
"Kenapa kita tidak boleh bincang secara intelektual," katanya sambil menambah tindakan membakar buku tersebut "tidak patut dilakukan".
"Perkara tersebut (pembakaran Interlok) memberi implikasi bahawa rakyat Malaysia tidak boleh berbahas sehingga bertindak menghalangnya," katanya.
Tindakan itu juga mengingatkan beliau kepada peristiwa pembakaran buku di zaman Nazi dan pembakaran buku 'Satanic Versus' karangan Salman Rushdie.
Beliau juga kesal dengan apa yang disifatkannya sebagai 'hobi' kerajaan yang suka mengharamkan bahan-bahan bacaan.
Ketuanan Melayu
Antaranya mengharamkan buku termasuk karya penulis terkenal Karen Amstrong dan Islam, dan Pluralisme susunan Al-Mustaqeem Mahmod Radhi.
Sehubungan itu, beliau meminta agar kerajaan berhati-hati sebelum bertindak pengharaman sesebuah buku.
Dalam forum itu juga, Azmi turut mempersoalkan mengapa dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, konsep ketuanan Melayu "tiba-tiba muncul dengan garangnya".
Katanya, hal demikian disebabkan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan yang membuatkan mereka berpecah dengan memberi contoh isu kes kepala lembu tahun lalu.
Bagaimanapun, sebelum mengakhiri forum tersebut, beliau mengutarakan "ketakutannya" apakah rakyat Malaysia benar-benar sudah melakukan kajian secara sejarah dan melakukan kritikan sejarah.
"Dan (apa yang) menjadi ketakutan saya ialah ia tidak dilakukan," katanya.
Sementara itu, dalam majlis yang sama. Dr Fong berkata beliau akur dengan hasil karya yang hasilkan oleh sasterawan negara Datuk Abdullah Hussin dengan cuba melihat dari sudut persepsi nasionalisme.
Dakwanya persepsi nasionalisme yang dimaksudkan itu wujudnya pertembungan "melihat nasionalisme Melayu dan menekan kaum yang lain".
"Itu tidak betul. Ia nasionalisme yang tempang dan cacat. (Sebaliknya) mesti ada nasionalisme yang (menjurus kepada) bersatu padu demi mewujudkan negara bangsa yang diimpikan, (dan) tidak terlalu menjurus kepada satu motif yang tertentu," katanya.
Sementara itu, Lee Ban Chen mendakwa selain interlok menjadi novel berbentuk sejarah, ia juga menjadi buku politik dalam rangka Umno untuk mempertahankan ideologi Umno dan dasar-dasar mereka.
Manakala berdasarkan komen-komen dan pendapat yang diberikan oleh hadirin, kebanyakannya berkisar mengapa kerajaan yang masih lagi mengekalkan novel tersebut walaupun mendapat reaksi negatif dari pelbagai pihak.
Malah ada yang berfikiran positif menjadikan forum tersebut sebagai medan untuk bertukar fikiran berhubung isu novel interlok.
http://malaysiakini.com/news/159585
No comments:
Post a Comment