Sunday, March 27, 2011

Isu Interlok belum selesai, panel kata 'belum puas'

Isu Interlok belum selesai, panel kata 'belum puas'
Jimadie Shah Othman
Mac 25, 11
1:29pm

Pengguguran perkataan paria dan 18 lagi bahagian yang dianggap sensitif dalam novel Interlok nampaknya belum selesai, berbeza dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Selain "belum puas", masih terdapat banyak wakil masyarakat India yang tetap mahukan novel Datuk Abddullah Hussain itu digugurkan sebagai teks sekolah.

NONEBagi penulis Uthaya Sankar SB (kiri) yang juga anggota panel bebas Interlok, walaupun semua cadangan pindaan dipersetujui, ia cuma melibatkan bahagian menyentuh sensitiviti kaum India sahaja.

"Saya secara peribadi belum puas sebab saudara Melayu dan saudara Cina saya, ke mana pergi suara mereka sebagai panel bebas?" soalnya.

Beliau mendedahkan, anggota panel yang ditugaskan mencari perkara sensitif bagi Melayu dan India telah menarik cadangan mereka dalam perjumpaan dengan Muhyiddin di parlimen pada 16 Mac lalu.

"(Jadi) macam mana kami hendak perjuangkan, ia (cadangan berkaitan itu) tidak ada (lagi)," katanya.

106 cadangan lulus

Semalam, timbalan perdana menteri berkata, perkataan paria mencetuskan kemarahan dan demonstrasi daripada masyarakat India akan digugurkan dari novel Interlok.

Menurut Muhyiddin, panel bebas yang ditubuhkan bagi mengkaji kesesuaian novel tersebut, termasuk tiga perwakilan India sepakat menggantikan perkataan paria dengan "golongan yang sama".

NONESehubungan itu, Kementerian Pelajaran yang dipimpinnya menganggap isu itu selesai, beliau dilaporkan berkata dalam sesi soal jawab di parlimen.

Bercakap dalam sidang media di ibu negara hari ini, Uthaya yang hadir bersama seorang lagi anggota panel bebas G Krisnabahawan mendedahkan, jumlah pindaan sebenar yang dicadangkan wakil India melibatkan 106 tempat.

Bagaimanapun, menurutnya, sebanyak 19 pindaan itu hanya melibatkan bahagian sensitif - enam tempat yang menyentuh masyarakat India, enam pengguguran perkataan dan ayat serta memasukkan tujuh errata (ralat).

Sementara Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (NIAT) - antara kumpulan yang paling ke depan mahu Interlok digugurkan terus - hari ini tetap mahu Interlok sebagai bacaan sastera di sekolah.

'Tidak Islamik'

NONEMenurut pengerusinya Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim (kanan), walaupun pindaan pada bahagian sensitif telah dibuat, sebagai seorang Islam, beliau percaya novel itu "tidak Islamik".

Beliau juga mendakwa, masih terdapat bahagian dalam Interlok bertentangan dengan ayat al-Quran yang menyebut larangan mencemarkan dan mengaibkan puak lain serta memberikan panggilan yang buruk kepada orang lain.

"kecuali ulama Islam kata boleh," katanya yang mengaku menulis surat kepada pelbagai pihak bagi memaklumkan perkara itu, termasuk Muhyiddin, perdana menteri, mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Bagaimanapun, bagi Ketua Pemuda MIC T Mohan, walaupun diasak oleh beberapa wakil NGO India yang hadir sama dalam sidang media itu, isu Interlok sudah selesai dan MIC sudah melakukan apa yang termampu.

NONE"Jadi berhentilah menyalahkan MIC," katanya sambil menegaskan parti untuk masyarakat India itu mempunyai pendirian yang tegas sejak daripada awal lagi.

Bagaimanapun, tambahnya, untuk bahagian yang menyentuh masyarakat Melayu dan Cina, terserahkan kepada kelompok itu untuk tampil ke depan.


http://malaysiakini.com/news/159640

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...