Pemberontak Libya menawan bandar minyak strategik Ajdabiya semalam, menandakan kejayaan pertama mengatasi tentera kerajaan yang setia kepada Muammar Gaddafi selepas dibantu serangan udara tentera bersekutu seminggu lalu. Pemberontak disokong pengeboman udara tanpa henti tentera Barat, memasuki bandar ketika kereta kebal yang musnah dan kenderaan tentera kerajaan berada di sepanjang jalan.
Ada yang mendekati mayat dua askar pro-Gaddafi yang terbaring untuk sambil mengambil gambar, sementara sebuah masjid dan banyak kediaman menunjukkan kesan pengeboman hebat.
Pemberontak meraikan kejayaan mereka dengan melepaskan tembakan ke udara dan melaungkan ‘Tuhan lebih berkuasa’.
Pengikut setia rejim dituduh melakukan kekejaman terhadap penduduk di sini.
Seorang penduduk, Ibrahim Saleh, 34, memberitahu: “Kereta kebal membedil rumah tanpa henti. Saya tidak dapat keluar dari rumah selama beberapa hari. Tiada air, minyak atau komunikasi dan apabila penduduk keluar untuk membeli minyak, mereka diserang.
“Tentera bersekutu melancarkan serangan udara sejak dua hari lalu. Mereka melancarkan serangan udara dan pasukan revolusi datang membebaskan bandar ini,” katanya.
Ajdabiya adalah bandar pertama jatuh ke tangan pemberontak sejak tentera gabungan Barat melancarkan serangan udara disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 19 Mac lalu untuk menahan tentera yang setia kepada Gaddafi daripada menyerang orang awam.
Di tempat lain, letupan besar menggegarkan tapak tentera di pinggir timur Tripoli awal pagi semalam ketika tentera Barat memberi tekanan ke atas Gaddafi dengan tembakan bertalu-talu dari udara.
Letupan itu menyebabkan satu kemudahan radar terbakar di Tajura, tempat beberapa pangkalan udara, kata saksi.
“Daerah itu digegarkan dengan tiga letupan,” kata penduduk menambah bahawa letupan itu memecahkan tingkap.
“Serbuan menyasarkan tapak radar tentera yang masih terbakar,” kata seorang penduduk yang tinggal berhampiran.
Di Washington, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkata misi tentera Barat di Libya menunjukkan kejayaan dan berjaya menyelamatkan banyak nyawa.
Tentera Bersekutu terus menyerang askar Gaddafi dengan melancarkan peluru berpandu dan bom selain menguatkuasakan zon larangan trbang dan sekatan di laut.
“Jadi, terbukti tindakan pantas kami mengelak bencana kemanusiaan ramai orang awam sama ada lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa,” katanya dalam ucapan mingguan di radio.
Sementara itu pihak Muammar Gaddafi pula mendakwa serangan udara terbaru pakatan Barat membunuh orang awam selain askar di sepanjang jalan sejauh 400 kilometer antara Ajdabiya dan Sirte.
“Malam ini serangan udara terhadap negara kami berterusan secara besar-besaran. Kami kehilangan banyak nyawa, tentera dan orang awam.
“Kami percaya ramai orang awam terbunuh termasuk beberapa keluarga yang cuba melarikan diri daripada serangan udara itu,” kata jurucakap pro-Gaddafi, Moussa Ibrahim.
Terdapat banyak bandar di sepenanjang jalan antara Ajdabiya dan Sirte.
- AFP
http://www.kl-today.com/?p=15653
No comments:
Post a Comment