metahad@hmetro.com.my
KECEWA... Mariam dan Mohd Ariff Izwan Mohd Hadi menunjukkan tong berisi petrol yang berjaya dirampas daripada suspek
PASIR PUTEH: Seorang penagih dadah tegar bertindak liar apabila cuba membakar rumah ibunya sebelum tindakannya itu berjaya digagalkan oleh adiknya sendiri dengan bantuan penduduk dalam satu kejadian di Kampung Haji Wan Omar, Tok Bali, di sini, tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, suspek lelaki berusia 43 tahun dipercayai melakukan tindakan itu selepas dikatakan menelan pil kuda secara berlebihan.
Sebelum kejadian, suspek yang juga duda anak dua itu dikatakan bertindak bagaikan orang hilang akal apabila sanggup menghalau ibunya, Mariam Daud, 73, dan juga adiknya yang cacat anggota, Rohani Salleh, 38, keluar dari rumah berkenaan, kononnya, serabut melihat mereka.
Takut melihat tindakan suspek, Mariam dan Rohani terpaksa menumpang buat sementara waktu di rumah anak bongsunya, Mohd Hadi, 34, kira-kira 50 meter dari rumah yang didiami bersama suspek.
Difahamkan, suspek dikatakan baru keluar dari lokap Rabu lalu, menjadi semakin ganas, malah sanggup memukul ibunya yang uzur, selain pernah menyepak perut Rohani yang ketika itu mengandung sebulan, dua minggu lalu.
Selain itu, gara-gara ketagih pil kuda, suspek dikatakan pernah memecah cermin keretanya sendiri termasuk mengoyakkan kusyen motosikal milik anak saudaranya. Mohd Hadi berkata, dia yang bekerja di sebuah kilang papan di Gua Musang terpaksa bergegas pulang ke kampung sebaik dimaklumkan abangnya itu baru dibebaskan dari lokap , Rabu lalu kerana bimbangkan keselamatan keluarga terutama ibu dan kakaknya itu.
Katanya, pada malam itu (kelmarin), abangnya tiba-tiba mengugut hendak membakar rumah ibunya menyebabkan dia cuba menghalang, namun terus dimarahi sebelum diberi amaran supaya tidak masuk campur.
“Dia sudah mengelilingi rumah ibu dengan minyak petrol sebelum menyalakannya dengan api rokok, namun ketika api hendak merebak, saya sempat memadamkannya.
“Berlaku sedikit pergelutan antara kami ketika saya cuba merampas tong berisi minyak petrol daripada tangannya,” katanya semalam.
Menurutnya, abangnya terus melarikan diri sebaik menyedari penduduk datang beramai-ramai untuk memberi bantuan.
“Bagaimanapun, saya dan penduduk kampung berjaya menangkapnya pagi semalam, ketika dia pulang ke rumah ibu untuk mengambil ‘barangnya’ sebelum dibawa ke Balai Polis Cherang Ruku.
“Kami sekeluarga kini hidup dalam ketakutan kerana dia mungkin akan bertindak lebih ganas jika dia tidak segera dihantar ke pusat pemulihan,” katanya yang sudah membuat laporan polis.
Sementara itu, kata Mariam, sebelum ini, anak ketiga daripada enam beradik itu adalah pemuda yang disenangi penduduk kampung kerana suka membantu.
Bagaimanapun, katanya, perangai anaknya itu mula berubah sebaik menjadi pemandu lori apabila dia berjinak-jinak dengan dadah.
“Saya buntu memikirkan nasib dirinya walaupun pernah memberi nasihat supaya kembali ke pangkal jalan, tetapi sebaliknya berlaku apabila dia menjadi lebih ganas apabila sanggup memukul ibu sendiri.
“Justeru, saya merayu kepada pihak berkuasa supaya menghantarnya segera ke pusat pemulihan dadah kerana itulah sahaja jalan terbaik bagi memulihkan keadaannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis daripada keluarga suspek berhubung kejadian itu dan siasatan kini sedang dijalankan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Padahdudahilangakal/Article/index_html
No comments:
Post a Comment