Semenjak Zein al-Abideen (Tunisia) dan Hosni Mubarak (Mesir) digulingkan, Yaman adalah antara negara Arab di Timur Tengah dan Utara Afrika yang bergolak akibat kebangkitan rakyat yang menuntut perubahan politik dan kepimpinan.
Pada hari Jumaat, 18 Mac 2011 menyaksikan seluruh lapisan masyarakat berhimpun memenuhi semua masjid di ibu negara Sana'a sehingga jumlah jemaah melimpah ke jalanraya. Mereka sudah berada di jalanan semenjak lebih kurang sebulan yang lalu.
Pada hari khamis sebelum itu, Presiden Ali Saleh mengumumkan pelan untuk mengubah perlembagaan negara dan sistem parlimen.
Melalui siaran langsung itu, beliau memberitahu bahawa satu referendum akan dipertimbangkan untuk diadakan pada tahun ini berserta dengan satu peraturan pilihanraya yang baru.
Namun, kelompok pembangkang mengemukakan tuntutan yang lebih besar daripada itu iaitu presiden mesti berundur setelah 33 tahun memerintah.
Mereka tidak percaya kepada janji presiden bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya selepas 2 tahun lagi (2013). Kebimbangan tersebut sememangnya berasas apabila beliau pernah mungkir janji beberapa kali.
Pada bulan Mac 2009, beliau telah menangguhkan pilihanraya presiden sehingga dua tahun (2011). Presiden Ali Saleh berjanji akan melakukan perubahan besar sepanjang dua tahun itu untuk menghapuskan rasuah, membasmi kemiskinan, mengatasai masalah ekonomi, pengangguran dan sebagainya.
Akhirnya pada awal bulan lalu beliau mungkir janji lagi apabila mengumumkan bahawa pilihanraya akan ditangguhkan dua tahun lagi sehingga 2013.
Rakyat tidak boleh bersabar lagi dan mereka sudah muak dengan janji-janji palsu pemerintah. Akhirnya demonstrasi yang dimulakan oleh mahasiswa di Universiti Sana'a telah merebak dan disertai oleh semua lapisan masyarakat yang semakin tertekan dengan corak pemerintahan Ali Saleh.
Hampir kesemua jalan utama di Dairy, Sana'a telah ditutup kerana golongan penentang pemerintah telah berkhemah di sepanjang jalan walau pun dirempuh beberapa oleh pihak polis.
Manakala kelompok penyokong pemerintah mendominasi medan Tahrir. Mereka dibiarkan berhimpun di situ bagi memberi gambaran kepada masyarakat luar bahawa rakyat Yaman bersatu menyokong pemerintahan presiden.
Pada hari itu, angka yang menyertai perhimpunan bertambah ramai kerana mereka merancang untuk mengadakan demonstrasi terbesar selepas solat Jumaat untuk menuntut Presiden Ali Saleh meletakkan jawatan.
Sebaik sahaja selesai solat Jumaat, tiba-tiba bunyi tembakan berteriak di ruang udara menyaksikan beberapa orang yang berada dalam saf solat telah gugur syahid di tepi-tepi jalan.
Keganasan bermula apabila puak yang menyokong pemerintah (disyaki sebagai tentera yang berpakaian awam) melepaskan tembakan membuta tuli kepada para penentang dari arah jendela dan atas bangunan yang berdekatan.
Seraya itu para jemaah pun bangun meninggalkan tempat sujud mereka dan menyerbu ke arah pihak polis yang berkawal. Lalu berlakulah pertempuran sehingga pasukan keselamatan melepaskan tembakan peluru hidup secara terbuka ke arah rakyat dengan disertai gas pemedih mata dan trak meriam air.
Pertempuran semakin mengganas apabila orang awam yang kebanyakannya tidak bersenjata terpaksa berhadapan dengan pasukan keselamatan dan para penyokong pemerintah yang bersenjata lengkap.
Kejadian tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya 45 nyawa dan mencederakan lebih 200 yang lain. Menurut seorang doktor yang merawat para peserta demonstrasi yang tercedera di tempat kejadian, angka yang terkorban adalah lebih besar.
Katanya, "Kejadian ini seperti pembunuhan beramai-ramai, terdapat pasukan polis yang berpakaian seragam dan ada juga perpakaian awam dan mereka menyerang orang ramai yang berdemonstrasi."
Menurut doktor tersebut, jumlah yang tercedera adalah 1,250 orang dan 250 daripadanya berada dalam keadaan kritikal. Sebahagian mereka di rawat di celah-celah bangunan.
Beberapa orang yang disyaki melepaskan tembakan dari atas bangunan telah ditangkap oleh orang awam. Mereka yang disyaki sebagai penembak curi telah diheret ke tengah jalan lalu dibelasah oleh rakyat yang hilang pertimbangan.
Dalam salah satu bilik di mana penembak tersebut dicekup, para penentang menemui pakaian seragam tentera dan tanda pengenalan milik kementerian pertahanan.
Kematian yang berlaku telah meningkatkan kemarahan para penunjuk perasaan. Walau pun sebelum itu telah berlaku kematian akibat tembakan curi yang dilakukan oleh kelompok penyokong presiden.
Dalam sidang media yang diadakan di Sana'a, Ali Saleh mendakwa pertempuran yang berlaku adalah antara orang awam dan para penunjuk perasaan. Menurutnya, polis tidak berada berada di tempat kejadian apatah lagi melepaskan tembakan.
Beliau menafikan pasukan tentera terlibat dan beliau berjanji akan menjalankan siasatan penuh bagi mencari punca pertumpahan darah tersebut.
Kenyataan Ali Saleh sangat diragui. Ini kerana beliau pernah berkata sebelum itu akan menggunakan strategi dan pendekatan seperti Gaddafi di Libya untuk menamatkan penentangan rakyat terhadapnya.
Presiden Ali Saleh mengisytiharkan perintah darurat tidak lama selepas kejadian tembak menembak itu. Tempoh darurat dijangka akan berterusan selama 30 hari semenjak hari Jumaat itu.
Presiden Barack Obama telah mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbiran Amerika Syarikat melahirkan rasa simpati kepada warga Yaman dan berharap Presiden Ali Saleh memberi peluang kepada perhimpunan aman yang dianjurkan oleh rakyat.
Pada hakikatnya, AS merasa terancam sekiranya keadaan di Yaman menjadi tidak terkawal kerana negara tersebut dikatakan terdapat cabang gerakan al-Qaeda yang paling aktif.
Kerana itu, sekiranya Presiden Ali Saleh digulingkan, maka keadaan akan menjadi lebih parah kerana belum dapat dipastikan lagi adakah penggantinya mampu berkawan dengan pentadbiran Washington.
AS semenjak sekian lama membiayai misi menentang keganasan dan melumpuhkan golongan pro-Islam di negara itu.
Pada hari Sabtu 19 Mac 2011, Parti Islah sebagai gerakan Islam terbesar di Yaman telah mengarahkan agar seluruh masjid mengadakan solat jenazah ghaib untuk mereka yang terkorban.
Beratus-ratus ribu rakyat keluar menghadiri masjid-masjid berdekatan. Sejurus itu, demonstrasi besar-besaran telah berlaku secara spontan. Jalan-jalan utama di Sana'a telah ditutup melumpuhkan lalu lintas.
Angka penunjuk perasaan dianggarkan meningkat sehingga 1 juta orang sehingga waktu petang.
Khabar angin mula tersebar bahawa satu pembunuhan besar-besaran yang melibatkan para pemimpin pembangkang akan berlaku. Presiden Ali Saleh telah berikrar untuk menamatkan demonstrasi secepat mungkin.
Rentetan kejadian itu, Duta Yaman di Lubnan telah meletakkan jawatan sebagai bantahan terhadap tindakan tentera membunuh orang awam.
Dalam negara, setiausaha kementerian pendidikan dan menteri di jabatan hal ehwal agama turut meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap tindakan terdesak Ali Saleh mempertahankan kuasanya.
Melalui sms terakhir yang diterima, pihak pemerintah telah memutuskan bekalan elektrik di seluruh pencawang bagi menekan rakyat dan menghalang agensi berita asing membuat liputan.
Waktu maghrib telah pun tiba sedang ibu negara Sana'a diselubungi kegelapan. Di celah-celah itu, sayup-sayup kedengaran suara yang melaungkan sumpah sesungguhnya darah para syuhada akan dibela.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31492:pembunuhan-orang-awam-tingkat-kemarahan-rakyat-yaman&catid=94:global2&Itemid=135
No comments:
Post a Comment