Sunday, March 27, 2011

Rahim nafi berdendam dengan Anwar

Posted by admin on March 27th, 2011

Bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (gambar) berkata beliau terlibat dalam skandal pendedahan video seks bukan kerana berdendam dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran nasib yang menimpa dirinya 17 tahun lalu. Sebaliknya kata Abdul Rahim , beliau mendedahkan perkara itu demi mencari kebenaran buat semua pihak yang terlibat dalam aksi seks yang dirakamkan pada akhir bulan lalu.

“Apabila saya menyebut tentang peletakan jawatan saya (sebagai ketua menteri Melaka), saya hanya mahu Anwar mengekori langkah saya walaupun beliau telah menipu dengan mengatakan Tun (Dr Mahathir Mohamad) menyuruh saya berundur (semasa itu).

“Saya tetap meletakkan kepentingan negara di atas segala-galanya dengan tidak membuat huru-hara seperti menganjurkan demonstrasi bagi melemahkan kerajaan atau negara atau mengambil tindakan undang-undang ke atas Anwar kerana berbohong kepada saya,” katanya dipetik Mingguan Malaysia hari ini.

Pemimpin dan penyokong Anwar mendakwa Abdul Rahim juga memainkan peranan ketika Ketua Umum Pakatan Rakyat kes moral yang membawa kepada pemecatannya daripada kerajaan dan Umno pada 1998.

Pada 24 Mac lalu, Anwar mendakwa balas dendam sebagai punca sebab Abdul Rahim sanggup mahu mendedahkan skandal video seks yang didakwa mengaitkan beliau,.

“Pembabitan Thamby Chik mengingatkan saya dengan kes lama, berkaitan dengan tuduhan rogol dan kes di mana kertas siasatan ditandatangani oleh (Peguam Negara Tan Sri) Gani Patail bahawa beliau terlibat dalam satu kes rasuah,” kata Anwar.

“Beliau melakukan ini kerana mahu membalas dendam,” kata Ketua Umum PKR ini.

Pada 1994, Abdul Rahim dikenakan tuduhan berkaitan kes rogol melibatkan pelajar bawah umur. Meskipun kes itu digugurkan kemudian, tetapi ia telah menjejaskan kerjaya politiknya.

Anwar juga mendakwa pihak polis melindungi Abdul Rahim dan rakannya, yang menggambarkan wujud konspirasi berhubung video seks.

“Mereka dilindungi oleh Cawangan Khas. Mengapa polis melindungi mereka? Dalam kes ini, kerana mereka adalah pemimpin Umno, polis diarah melindungi mereka,” kata Anwar.

Abdul Rahim merupakan salah seorang daripada tiga “Datuk T” yang dilaporkan bertanggungjawab mendedahkan rakaman video seks minggu lalu.

Dua yang lain ialah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Ketiga-tiga mereka sudah memberikan keterangan kepada polis Khamis dan Jumaat lalu.

Dalam satu kenyataan kelmarin, seorang bekas anggota polis berkata, Shazryl ada memberitahunya bahawa beliau akan menjatuhkan Anwar daripada arena politik sebelum mempertontonkan satu rakaman video seks kepada media Isnin lalu.

Rakaman video seks itu mendakwa seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur China.

Mohamad Mahti Abdul Rahim, bekas pengawal peribadi Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub berkata, Shazryl marah kerana Ahli Parlimen Permatang Pauh itu enggan menjadi saksi dalam kes samannya berkaitan projek jambatan bengkok yang diluluskan ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kes itu sedang berlangsung di mahkamah dan Megat Junid pernah menjadi menteri dalam Kabinet Dr Mahathir.


http://www.kl-today.com/?p=15662

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...