KUALA LUMPUR, 25 Mac: Mahasiswa Universiti Malaya (UM) mendesak pihak pentadbiran universiti menarik semula hukuman tatatertib yang dikenakan ke atas dua calon mereka pada pilihan raya kampus Februari lalu, Tan Tiong Yih dan Yeong Lee Kee.
Kedua-duanya dikenakan hukuman gantung satu semester, dikehendaki membayar denda RM200 dan diberi amaran oleh pihak universiti kerana didakwa memalsukan dokumen cuti sakit yang dikemukakan bagi tujuan pengecualian menghadiri bengkel persediaan calon yang dilaksanakan pihak Hal Ehwal Pelajar &Aalumni (HEPA) pada fasa pilihan raya lepas.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, hukuman itu terlalu berat terhadap kedua mereka dan hukuman penggantungan pengajian satu semester yang berkuat kuasa serta merta adalah tidak wajar memandangkan baki semester hanya tinggal dua minggu sebelum minggu peperiksaan akhir.
"Mahasiswa mengingatkan pihak universiti, jika mereka masih kekal dengan keputusan hukuman tatatertib yang dikenakan ke atas kedua mahasiswa tersebut sehingga tamat tempoh rayuan, hal ini akan memalukan dan merosakkan nama baik universiti sebagai universiti contoh di negara ini," kata beliau pada sidang media di Akademi Pengajian Islam UM hari ini.
Pro M UM juga mempertikai prosedur mahkamah universiti yang dilaksanakan terhadap kedua-duanya apabila mereka tidak boleh membawa sesiap kecuali diwakili pekerja atau pelajar sedangkan mereka mempunyai saksi yang boleh membantu dalam sesi pembelaan.
Selain itu, turut dipersoal mengenai tempoh masa yang terlalu panjang untuk menjatuhkan hukuman iaitu 24 hari selepas selesai pilihan raya.
"Kalau benar mereka bersalah, kenapa tak bantah masa tempoh bantahan? Calon Pro M hanya menerima satu bantahan mengenai perkara lain, tapi itu pun ditolak. Langsung tidak ditimbulkan mengenai surat cuti sakit ini," katanya.
Tiong dan Lee Kee yang masing-masing merupakan pelajar fakulti Kejureteraan dan fakulti Sains Sosial diberi tempoh 14 hari iaitu sehingga 7 April untuk mengemukakan rayuan.
Sehubungan itu, sepanjang tempoh itu, Pro M UM akan turun ke setiap fakulti bagi memberikan peneranagn kepada mahasiswa mengenai perkara itu.
Surat cuti sakit sah
Sementara itu, kedua mereka dalam kenyataan yang dibacakan bendahari MPM UM, Kelvin Tee Tin Loong pada sidag media sama menegaskan bahawa surat cuti sakit yang dikemukan adalah sah dan ditandatangani oleh doktor.
Mereka sebaliknya mengesyaki hukuman berat itu telah ditetapkan oleh pihak universiti sebelum prosiding sebagai tindakan terhadap mahasiswa yang dilabel sebagai anti-universiti.
"Kami ingin mengulangi bahawa surat cuti cakit yang dihantar kepada pihak universiti adalah sah dan ditandatangani oleh doktor,"katanya.
Selain itu mereka turut mendakwa prosiding dijalankan secara tergesa-gesa tanpa memberi masa kepada mereka untuk membuat persediaan membela diri.
"kami mendapati hukuman berat ini adalah tidak adil, malah bermotif politik di sebaliknya," katanya.
Turut bersama pada sidang media berkenaan ialah Setiausaha Solidariti mahasiswa Malaysia (SMM), Izzuddin Hilmi, pengerusi Pro-M Nasional Mohd Taufiq Abdul, dan ahli jawatankuasa Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) UM, Mohd Sofwan Anang.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31526:mahasiswa-desak-um-tarik-balik-gantung-pelajar&catid=1:utama&Itemid=50
No comments:
Post a Comment