Sunday, March 27, 2011

Peguam Eskay nafi Anwar tak mahu beri keterangan

Hafiz Yatim
Mac 25, 11
8:22pm

Selepas bekas pengawal peribadi seorang menteri mendakwa ada kemungkinan ahli Datuk Shazryl Eskay Abdullah marah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak memberi keterangan dalam kes jambatan bengkok, seorang peguam yang mewakili plaintif, hari ini menafikan perkara itu.

CV Prabhakaran, yang merupakan peguam utama Eskay dalam saman pada tahun 2002 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Merong Mahawangsa Sdn Bhd dan pengarah eksekutifnya, Datuk Yahya A Jalil, berkata ketua pembangkang itu sebaliknya bersedia memberi keterangan.

“Saya boleh mengesahkan bahawa Anwar memang bersedia untuk memberi keterangan dalam kes itu. Ia bukan satu kes di mana Anwar tidak bersedia memberi keterangan kerana beliau sedia berbuat demikian,” katanya sambil menambah beliau sedia dipetik memberitahu demikian.

“Apa yang saya boleh katakan ialah peguam, Eskay dan saya telah memutuskan untuk tidak memanggil Anwar untuk kes ini. Ini berikutan Eskay dan defendan Yahya tidak menafikan bahawa peranan Anwar adalah hanyalah menyerahkan surat mereka (Yahya and Merong Mahawangsa) kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Oleh kerana tiada penafian terhadap peranan kecil Anwar itu, maka kami memutuskan untuk tidak memanggil Anwar and Eskay bersetuju,” katanya kepada Malaysiakini.

Prabhakaran juga adalah salah seorang peguam pembela yang mewakili Anwar dalam kes liwat II.

Mohamad Mahti Abdul Rahim - bekas pengawal peribadi seorang menteri - mendakwa Eskay marah kerana Anwar enggan menjadi saksinya dalam satu saman sivil melibatkan projek 'jambatan bengkok'.

Selepas hampir 10 tahun, kes tersebut telah dipindahkan kepada tiga hakim, sebelum dipindahkan kepada Hakim Datuk VT Singham, dan didengar bulan ini.


Awal minggu ini, Hakim Singham telah menetapkan 5 Mei untuk mengumumkan keputusannya.

Dalam kes itu, Shazryl menuntut RM20 juta dari Merong Mahawangsa and Yahya kerana didakwa mungkir kontrak selepas dia membantu mendapatkan projek tersebut

Mahti telah memberi keterangan dalam perbicaraan itu sebagai saksi pertama plaintif (Eskay) apabila dia memberi keterangan bahawa dia melihat bekas bosnya, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob, yang ketika itu merupakan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, memberi surat EPU kepada Eskay untuk melaksanakan projek jambatan menggantikan tambak Johor.


http://malaysiakini.com/news/159705

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...