Monday, June 27, 2011

Elaun 18 pengerusi, SU JKKKP didakwa dihentikan

Jun 22, 11 3:21pm

Seramai 18 pengerusi dan setiausaha kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di Pokok Sena kecewa dengan tindakan ketua Umno bahagian itu yang didakwa menghentikan elaun bulanan mereka tanpa alasan kukuh sejak Januari lalu.

Wakil kumpulan itu M Zani Morad, 61, berkata pemberhentian elaun itu melibatkan pengerusi dan setiausaha pengerusi JKKKP di Kampung Baru, Batu 18 Kampung Bukit, Machang Kudong, Padang, Tok Keling, Batu 3 Jalan Langgar, Mata Air, Taman Seri Kota dan Taman Pertama di Pokok Sena.

Zani, yang merupakan pengerusi JKKKP Kampung Baru sejak 2009, memberitahu pemberita bahawa elaun mereka dihentikan kononnya kerana mereka tidak menyokong ketua Umno bahagian itu, Datuk Ahmad Lebai Sudin selain kerana ada antara mereka dituduh sebagai pengedar air ketum.

"Tuduhan ini sangat melampau dan langsung tidak berasas," katanya.

Pengerusi JKKKP Batu 18 Kampung Bukit, Ramli Enoi, pula berkata beliau sangat terkilan dengan tindakan terbabit dan berharap pemimpin atasan Umno segera turun padang untuk menyiasat.

"Sudah 51 tahun saya berkhidmat dalam Umno dan dah jadi pengerusi JKKKP lebih 20 tahun, selama ini saya bertugas dan berjuang dengan ikhlas dalam Umno, dan demi kepentingan Umno, pemimpin atas kena turun ke bawah.

"Sekiranya perkara ini tidak diatasi, kita tidak akan dapat menawan semula negeri ini daripada Pas sebab sebelum ni pun kita kalah kerana kita sendiri, bukan sebab parti politik lain," katanya.

Pengerusi badan perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berharap JKKKP berkenaan bersabar dan bertenang kerana perkara itu melibatkan banyak pihak dan akan mengambil masa untuk diselesaikan.

"Saya melihat perkara ini sebagai isu teknikal yang boleh diselesaikan," katanya.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/167698

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...