Thursday, June 16, 2011

Mashitah selar suami peralat isteri

Jun 8, 11 7:51pm

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, menyelar segelintir suami yang menjadikan isteri semata-mata tempat melepaskan nafsu seks tanpa memikirkan kepentingan hidup berkeluarga.

Katanya, perkahwinan yang digalakkan oleh Islam adalah untuk menjamin keutuhan hidup suami isteri dan membentuk keluarga yang bahagia dengan kedua-dua suami isteri sama-sama memegang tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak.

"Justeru jangan ada di kalangan suami yang cuba mengabui pemahaman isteri kononnya satu pengorbanan bagi mereka dengan jaminan masuk syurga jika membenarkan suami berkahwin lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Simposium Wanita peringkat negeri oleh Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Dewan 2020 di Kangar hari ini sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-68 Raja Perlis.

Mashitah yang juga seorang daripada panel simposium itu berkata, adalah tidak wajar seseorang suami meletakkan isteri mereka sebagai "pelacur terhormat" sedangkan taat setia tidak boleh diletakkan kepada isteri sahaja sebaliknya suami juga perlu mempunyai sikap taat setia kepada isteri mereka.

Beliau menyifatkan perbuatan sedemikian tidak boleh dibiarkan kerana isteri akan terus teraniaya sedangkan apa yang lebih penting adalah jaminan masa depan keluarga dan anak-anak, bukan semata-mata memuaskan nafsu seks seseorang suami.

"Dalam rumah tangga memang menjadi tanggungjawab isteri melayan suami tetapi jangan pula seseorang suami mengambil kesempatan daripada layanan baik isteri mereka hingga sanggup mempergunakan isteri tersebut untuk memuaskan hawa nafsu sendiri," katanya.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/166389

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...