Thursday, June 16, 2011

Maybank jangka cadang ambil alih akhir bulan

Jun 13, 11 5:32pm

Pengambialihan RHB Capital Bhd oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) mestilah boleh menambah pendapatan, kata Pengerusinya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Maybank menjangka untuk membuat cadangan pengambilalihan itu sebelum akhir bulan ini, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) Maybank di ibunegara hari ini

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Megat Zaharuddin berkata bagi Maybank, pengambilalihan itu akan membantu merangsang prestasi kumpulan itu selanjutnya untuk bersaing di peringkat global dan bertindak balas kepada pasaran dengan lebih cepat.

"Yang membuat kami tertarik kepada RHB ialah jika kami berjaya, ia akan memberikan kami skala, menjadikan kami lebih besar, dan melalui saiz, kami boleh melakukan beberapa perkara lagi," katanya.

Sementara itu, ditanya tentang pembiayaan bagi pengambilalihan itu, Abdul Wahid berkata cadangan asas ialah penggabungan kedua-dua entiti itu, dan akan melibatkan pertukaran saham.

Beliau berkata Maybank sedang berbincang dengan semua pemegang saham besar, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang memiliki 44.7 peratus kepentingan dalam RHB, dan dengan Abu Dhabi Commercial Bank (ADCB), yang memegang 25 peratus.

"Bagi pihak kami, kami sebenarnya mahukan cadangan penggabungan sepenuhnya, untuk menyatukan kedua-dua entiti ini," jelasnya.

Mengenai sama ada rancangan ADCB untuk menjual 25 peratus kepentingannya dalam RHB Cap kepada dana pelaburan Aabar Abu Dhabi, akan menjejaskan perbincangan itu, Abdul Wahid berkata kumpulan itu perlu menunggu perincian selanjutnya mengenai perkara ini.

Beliau menegaskan Maybank akan hanya meneruskan transaksi ini sekiranya ia mewujudkan nilai bagi pemegang sahamnya dan menyumbang kepada pendapatan.

Pada EGM hari ini, pemegang saham Maybank meluluskan pewujudan skim saham pekerja (ESS) sebanyak hingga 10 peratus modal saham terbitan dan berbayar kumpulan itu.

ESS yang dicadangkan itu bertujuan menyemak semula keseluruhan struktur gaji pekerja Maybank sebagai sebahagian daripada strategi ganjaran keseluruhannya untuk memberikan gaji, faedah dan peluang pembangunan kerjaya yang sesuai.

Anggaran kos bagi mewujudkan ESS itu ialah RM1.15 juta.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/166784

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...