Thursday, June 16, 2011

Saksi: Tiada pilihan jual RM3.5 juta pada Khir

Saksi: Tiada pilihan jual RM3.5 juta pada Khir
Jun 13, 11 8:45pm

Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni berkata beliau tidak mempunyai pilihan selain menjual dua lot tanah termasuk sebuah rumah banglo pada harga RM3.5 juta kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pada 2007.

NONEKatanya beliau berbuat demikian kerana khuatir projek perumahannya
di Selangor akan tergugat dengan mengambil kira kedudukannya sebagai seorang ahli perniagaan dan Dr Mohamad Khir sebagai menteri besar ketika itu.

"Perbincangan pernah berlaku antara saya dan Dr Khir pada 2004 dan dia (Dr Khir) mahu penjualan pada harga RM3.5 juta. Saya sebenarnya tidak bersetuju kepada harga itu kerana terlalu rendah dan saya nyatakan sekurang-kurangnya RM5 juta hingga RM5.5 juta.

"Waktu saya beli hartanah ialah RM5 juta, tambahsuai RM1.5 juta, jadi harganya semua RM6.5 juta. Saya beri diskaun sedikit sebab itu saya letak RM5.5 juta tetapi tidak dipersetujui Dr Khir dan katanya hanya mampu RM3.5 juta sahaja," katanya semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Shamsuddin menyambung keterangannya pada hari keempat kes perbicaraan Dr Mohamad Khir yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai menteri besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Semasa diminta memberikan penjelasan lanjut mengapa beliau bersetuju untuk menjual pada harga yang rendah, Shamsuddin menjawab setelah pihaknya berbincang dengan orang rumahnya (isteri), beliau memberitahu isterinya ada projek di Selangor dan seorang Menteri Besar mahu membeli rumahnya dengan kadar harga 3.5 juta.

"Saya setuju kerana khuatir kedudukan saya sebagai seorang ahli perniagaan di Selangor dan khuatir projek saya di Selangor tergugat," katanya.

Beliau juga memberitahu hartanah tersebut yang dibelinya di bawah Ditamas Sdn Bhd telah dijual dan dipindahmilik kepada Dr Mohamad Khir dan isteri, Zahrah pada 2007.

Shamsuddin berkata Dr Mohamad Khir menjelaskan RM500,000 pada 28 Mei 2007 sebagai wang pendahuluan kepadanya untuk rumah itu dalam bentuk cek dan seterusnya baki RM3 juta melalui cek pada 16 Ogos 2007 kepada peguamnya, Doris Getrude Mayappen.

Katanya, beliau terpaksa membeli dua lot tanah di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di Shah Alam pada 23 Disember 2004 daripada Ketua Eksekutif Syarikat Pemodalan Kebangsaan Berhad, Saiful Aznir Shahabudin dengan harga RM6.5 juta pada Disember 2004 setelah disuruh Dr Mohamad Khir berbuat demikian.

"Asalnya, Khir memang berminat dengan hartanah tersebut dan meminta Datuk Sumadi Ismail (kawan bapa Saiful Aznir yang memperkenalkan Khir kepada Saiful Aznir) untuk membelinya tetapi apabila beliau (Sumadi) kata ada komitmen lain, Khir suruh Shamsuddin beli rumah itu. Tambahan pula, waktu itu Khir adalah MB..apa dia suruh saya buat," katanya.

NONETerdahulu, pereka landskap Nasir Ismail mempertahankan
kenyataannya di mahkamah bahawa beliau dibayar lebih RM6 juta oleh Dr Mohamad Khir untuk kerja-kerja pengubahsuaian rumah mewahnya di Shah Alam.

Beliau menjawab demikian setelah disoal peguam Bela A. Athimulan yang mendakwa beliau tidak menyimpan sebarang dokumen berhubung penyerahan duit itu.

Nasir bagaimanapun mengaku tidak menyimpan sebarang dokumen seperti resit menyebabkan dia tidak dapat mengingati dengan jelas semasa ditanya oleh Athimulan berhubung pembayaran cek-cek bagi kerja-kerja pengubahsuaian.

Katanya beliau juga tidak dapat mengingati tarikh sebenar setiap kali Dr Mohamad Khir menyerahkan wang kepadanya melainkan ia diberikan secara tunai.

Athimulan turut membekalkan perjanjian bernilai RM1.5 juta yang ditandatangani oleh Nasir dan Dr Mohamad Khir pada Mei 2007, yang didakwanya kontrak sebenar antara mereka berdua dan kerja-kerja pengubahsuaian hanya berlaku pada tahun berkenaan.

Nasir bagaimanapun mempertahankan keterangannya sebelum ini dan menegaskan kerja-kerja pengubahsuaian rumah mewah Dr Mohamad Khir di Shah Alam bermula pada 2006 dan lebih RM6 juta dibayar kepadanya.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohtaruddin Baki bersambung esok dengan pihak pembelaan dijadual mengemukakan permohonan untuk mendapatkan rakaman percakapan Shamsuddin kepada pihak pendakwaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/166810

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...