KUALA LUMPUR: Pengusiran Bourdon membuktikan ada sesuatu yang disembunyikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.
“Kita tahu polis Perancis sudah memperoleh sejumlah banyak dokumen penting, mengaitkan (Datuk Seri) Najib Razak, Perdana Menteri kita yang ‘dicintai’. Sebab itu tindakan tidak munasabah diambil (mengusir Bourdon).
“Saya fikir, kerana kerajaan mengusir beliau dengan cara yang tidak baik, ia membantu perjuangan kita. Ini semua ujian. Saya lihat apa yang berlaku sebelum 9 Julai hingga kini satu ujian kepada pentadbiran Najib,” katanya dipetik Malaysiakini, yang terkilan kerana tidak berpeluang bersemuka dengan peguam hak asasi tersohor itu.
Seorang lagi Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, tahanan ke atas Bourdon mengimbas semula ingatannya terhadap apa yang terjadi kepada bintang Hollywood Malaysia, Datuk Michelle Yeoh yang disenarai hitam oleh junta tentera Myanmar kerana berlakon sebagai pejuang pro-demokrasi negara Aung San Suu Kyi dalam satu filem.
“Sedih saya katakan, tindakan (kerajaan Malaysia) ini membawa kita ke tahap seperti Burma,” katanya.
Kartunis Zunar pula mempersoalkan mengapa Bourdon dilarang masuk ke negara ini untuk bercakap mengenai kebenaran sedangkan Najib pula bebas ke luar negara menyampaikan maklumat tidak tepat.
“Mengapa Bourdon tidak boleh ke mari dan memberitahu kita perkara yang sebenarnya, sedangkan Perdana Menteri kita boleh ke luar negara menyebarkan pembohongan?” soalnya.
Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel menceritakan betapa cara penahanan dan pengusiran yang didakwanya tidak beretika oleh Jabatan Imigresen.
Beliau yang mengiringi Bourdon turut mendedahkan Bourdon dipaksa menandatangani satu kenyataan dalam bahasa Malaysia yang tidak difahaminya.
Malah, katanya, Bourdon turut ‘diundang’ untuk ditahan di KLIA selama tiga hari kerana dijadualkan balik ke Perancis pada Ahad ini namun ditolak Bourdon yang menggunakan wang sendiri membeli tiket baru untuk pulang ke Perancis jam 11.50 malam semalam.
“Bolehkah anda bayangkan? Pihak berkuasa Malaysia menangkap personaliti Perancis yang dikenali di serata dunia ini selama tiga hari,” katanya.
Mereka berkata demikian pada majlis makan malam di Dewan Sivik Petaling Jaya, malam semalam bagi mengutip derma bagi perbicaraan kes ‘Scorpene’ di Paris, September ini.
Kira-kira 500 orang hadir bagi membuktikan solidariti mereka kepada peguam berusia 55 tahun yang diupah oleh Suaram dan NGO hak asasi manusia yang lain.
Kes kapal selam Scorpene telah difailkan oleh Suaram pada tahun lalu melalui Bourdon dan pasukannya.
Mereka percaya firma pertahanan Perancis DCNS membayar RM540 juta sebagai komisyen kepada syarikat Perimekar dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu. Bayaran komisyen kepada pegawai dan pemimpin kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.
Perimekar adalah subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamanya adalah isteri Abdul Razak Baginda.
Abdul Razak pula adalah rakan rapat Najib dan pembantunya itu didakwa terbabit dengan pembunuhan penterjemah warga Mongolia Altantuya Shariibuu tetapi kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17380
No comments:
Post a Comment