Saturday, July 23, 2011

PM 'gempur' lubuk Pakatan

PM 'gempur' lubuk Pakatan
Jimadie Shah Othman
Jul 22, 11
5:28pm

Selepas lebih seminggu di luar negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus turun padang sekitar Subang - antara parlimen yang dikuasai Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

NONEMengelak menyentuh 'tekanan' yang dihadapi kerajaan - antaranya, kritikan terhadap layanan polis dalam perhimpunan BERSIH dan laporan siasatan kes kematian Teoh Beng Hock - Najib sebaliknya mengambil peluang mengkritik pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Mereka (Pakatan) beri RM100 riuh sekampung. Kita sudah beri berbilion ringgit pada rakyat. Cuma pihak sebelah sana pukul gendang lebih kuat saja," katanya.

Berucap di hadapan lebih 1,000 orang di sebuah sekolah di Subang, Najib menegaskan semula pemberian subsidi kerajaan dalam pembelian barangan harian, antaranya petrol RON95 dan tepung.

Katanya, kerajaan tidak pernah melupai keperluan seharian rakyat yang harus dibela di mana setakat ini sebahagian permasalahan mereka dapat ditanganinya dengan baik.

azlan"Ada orang tanya pada saya, apa kerajaan buat, seolah-olah dia kata dia belum rasa lagi apa kerajaan buat untuk dia.

"Saya tanya balik pada dia, saudara ada tak isi minyak dalam kereta saudara, isi dengan RON95, setiap liter, 80 sen itu (adalah) subsidi kerajaan, dalam tepung yang digunakan untuk ulit roti canai, pun ada subsidi, dalam minyak masak ada subsidi, dalam beras ada subsidi, malah anak-anak pergi ke sekolah ada juga subsidi di mana pendidikan hampir percuma dalam negara kita," katanya.

Hanya RM100

Perdana menteri berkata kerajaan tidak pernah merasa bangga atas kebaikan yang dicurahkan kepada rakyat berbanding pembangkang yang akan 'riuh sekampung' walaupun hanya memberikan RM100 kepada rakyat.

Sehubungan itu, Najib menggesa orang ramai tidak menilai prestasi sebuah kerajaan berdasarkan populariti, sebaliknya menilai rancangan jangka panjangnya.

azlan"Semasa saya di Turkmenistan, Petronas melabur lebih AS5 bilion untuk pelantar gas asli di Lautan Caspian... Seratus pakar jurutera Malaysia kini berada di Turkmenistan.

"Bukankah ini bagus, beri peluang pekerjaan pada anak-anak dan saudara kita. Inilah pandangan jauh ke depan," katanya yang pulang ke Malaysia pagi tadi.

Untuk penduduk Subang sendiri, kata Najib, "pandangan jauh" itu akan memberikan faedah langsung kepada penduduk setempat, antaranya melalui projek Greater Kuala Lumpur.

"Ini adalah tranformasi besar kerana kepimpinan kerajaan dokongan kita, BN," kata perdana menteri sambil menegaskan rakyat bawahan tidak dilupakan.

Najib berkata, sesebuah parti yang hanya mengejar populariti demi sokongan ketika pilihan raya, akan sanggup mengorbankan prinsip jangka panjang dan juga kepentingan masa depan negara di
mana pada akhirnya rakyat sendiri yang akan menderita.

azlanMenurutnya, kerajaan yang bertanggungjawab tidak hanya bijak menyelesaikan isu semasa tetapi mesti juga mempunyai perancangan dalam menentukan supaya masa depan negara tidak terjejas.

"Kita tidak janji yang kita tidak boleh tunaikan dan kita tidak janji yang tidak berpijak di bumi nyata, kita tidak janji hari ini berkuasa, esok harga minyak turun, ini janji untuk meraih populariti semata-mata, tidak ada perancangan untuk jangka masa panjang negara tercinta.

"Kita tidak boleh bersifat sedemikian, kita mesti melihat bagaimana kita boleh mengimbangi antara kepentingan meniti proses globalisasi dan memberi pertimbangan dalam negara kita," katanya.

Cikgu Zabedah

Sebelum menamatkan ucapan 30 minitnya, Najib juga sempat menyebut permintaan "Cikgu Zabedah" yang meminta komputer untuk makmal sekolah tempat lawatannya hari ini.

"Tak apalah cikgu, insya-Allah, kita bawakan komputer," katanya sambil disambut tepukan orang ramai.

NONENajib, yang baru tiga jam pulang ke tanah air daripada lawatan lapan hari ke Turkmenistan, United Kingdom dan Itali, turut menyatakan rasa bangga dengan kehadiran ramai tetamu pada majlis itu walaupun notis majlis dibuat dalam tempoh terhad dan berharap semangat itu dapat diterjemahkan ketika pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak tahu apa kesimpulan daripada kehadiran yang begini meriah, sama ada ini petanda baik ataupun tidak, sama-samalah kita tunggu.

"Saya berbangga sokongan mereka yang hadir dalam majlis ini, mudah-mudahan sokongan ini dapat diterjemahkan bila sampai ke masanya tetapi jangan tanya saya bila masanya itu," kata Perdana Menteri.

Sebelum beredar Najib sempat mengedarkan sampul 'bantuan' kepada orang ramai daripada tangannya sendiri sambil bersalaman.

Malaysiakini
difahamkan sumbangan secara rawak itu merupakan wang tunai sebanyak RM200.

Sebelum itu, pengerusi majlis mengumumkan, sebanyak RM165,000 daripada Yayasan 1MNDP akan diedarkan kepada 33 keluarga sekitar Subang.

Sebelum itu, Najib tiba seawal jam 1.30 petang untuk solat Jumaat dan makan tengah hari bersama penduduk setempat.

Menariknya, tanpa layanan istimewa, Najib sendiri dilihat menyeduk makanannya daripada tempat buffet untuk orang ramai.


http://malaysiakini.com/news/170741

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...