Suhakam meminta pihak yang mempunyai bahan bukti atau maklumat berkaitan dakwaan mengenai penggunaan kekerasan melampau pihak berkuasa dalam menangani perhimpunan Bersih 9 Julai lalu agar menyerahkannya kepada badan itu sebelum 2 Ogos ini.
“Orang awam yang telah menyaksikan sebarang perbuatan atau insiden mengenai dakwaan-dakwaan yang disebutkan atau mereka yang boleh memberi maklumat yang berkaitan dan atau dokumen serta bukti-bukti termasuk rakaman video atau gambar mengenai dakwaan-dakwaan ini diminta menghubungi suruhanjaya dengan segera,” kata Suhakam dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, tarikh akhir bagi tujuan itu, yang dinamakan sebagai penyerahan awam, adalah 2 Ogos ini.
Untuk pertanyaan dan penyerahan awam orang ramai boleh menghubungi
Ameer Izyanif Hamzah atau Shahizad Sulaiman di pejabat Suhakam di Aras 13, Menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail atau menerusi talian telefon 03-26125669 / 5623, faks (03-26125620 / 5694) atau e-mel complaints@suhakam.org.my atau humanrights@suhakam.org.my
Suhakam mengambil tindakan itu ekoran keputusannya, minggu lalu, mahu mengadakan siasatan awam ke atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan 9 Julai lalu.
Panel siasatan akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suhakam Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Kenyataan Suhakam juga berkata terma rujukan siasatan awam kali ini antara lain akan menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak sebelum dan semasa perhimpunan, dan jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, ia akan menentukan bagaimana pelanggaran itu terjadi, apakah arahan pentadbiran dan prosedur atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut dan individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran tersebut.
Selain itu, siasatan awam juga akan mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran tersebut tidak akan berulang.
Suhakam juga menambah, sapina akan dikeluarkan pada masa yang sesuai kepada saksi-saksi yang berkaitan termasuk orang awam, media dan pihak polis.
“Kuasa ini adalah menurut seksyen 14 (1) (a) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk mendapat dan menerima segala keterangan, bertulis atau lisan, dan untuk memeriksa semua orang sebagai saksi sebagaimana yang Suruhanjaya merasa perlu atau patut diperoleh atau diperiksa,” katanya.
http://www.kl-today.com/2011/07/suhakam-mula-kumpul-bukti-bersih/
No comments:
Post a Comment