KUALA LUMPUR, 22 Julai: Rakyat di negara ini diingatkan agar tidak lagi berpeluk tubuh dengan menyerah dan menerima secara pasif dan berlembut hati terhadap buruk laku dan keadaan yang dahsyat seperti rasuah, kronisme dan krisis perkauman yang berlaku setiap hari di depan mata.
Sebaliknya, setiap warga negara yang berfikiran benar dan saksama perlu bertindak segera sebelum keadaan itu sampai ke tahap yang tidak dapat dipulihkan lagi sehingga akhirnya seluruh asas peraturan hidup sosial, moral, budaya, undang-undang dan perlembagaan yang menjadi wadah ketahanan negara selama ini hancur dan musnah.
Presiden sebuah NGO yang baru ditubuhkan, Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Tengku Razaleigh Hamzah berkata, setiap warga negara Malaysia yang tulus, prihatin dan bertanggungjawab tidak boleh menunggu lagi untuk melakukan perubahan dari sekarang sebelum terlambat.
Menurut beliau, setiap rakyat negara ini tidak boleh membiarkan perbuatan manipulasi politik apa pun dan dari mana-mana pihak pun untuk memecahkan rakyat majoriti melalui apa-apa dasar dan keputusan yang secara sengaja dibuat untuk kepentingan golongan-golongan minoroti yang berkepentingan.
Katanya, sejak sebelum kemerdekaan sehingga sepanjang tempoh 54 tahun lalu, Malaysia telah membuktikan bahawa penduduknya dapat hidup bersama dalam semangat perpaduan, harmoni dan timbang rasa antara satu sama lain.
"Semangat timbang rasa antara penduduk negeri ini luar biasa sifatnya. Sejak dulu, kita dapati interaksi atau perhubungan antara kaum dan toleransi atau timbang rasa keagamaan tidak pernah menjadi masalah kita," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Amanah di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini, hari ini.
Berkali-kali pada masa-masa dahulu, menurut beliau, Malaysia disebut-sebut oleh masyarakat antarabangsa sebagai contoh atau 'model' negara yang penduduk pelbagai kaum etniknya dapat hidup bersama dan bersatu.
"Semangat inilah, model perpaduan antara etnik inilah, sebagai asas perpaduan kita yang mesti kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memulih dan memeliharanya.
"Jikalau pada hari ini semangat ini sudah tidak ada lagi, sebagaimana yang dapat kita saksikan sedang berlaku setiap hari, tentu ada sesuatu yang sangat tidak betul berlaku dalam cara kita memerintah atau mentadbirkan negara ini," tegasnya.
Oleh itu, katanya, kini sudah tiba masanya untuk setiap rakyat Malaysia mencegah dan memberhentikan perkembangan menurun dan merosot yang dahsyat itu dan jangan lagi diteruskan sindrom penafian terhadap keadaan itu untuk menutup kebenaran atau realiti yang sebenarnya.
"Sudah sekian lama, di antara kalangan kita yang mewakili suara pertengahan dan sederhana menyepi dan cuba mengelak risiko konfrontasi (dengan pihak berkuasa) kerana kita mahu meneruskan kehidupan biasa kita yang bebas daripada masalah dan kesusahan yang dicari-cari.
"Sikap seperti ini tidak sepatutnya berlaku berterusan kerana kalau kita menyepi dan tidak berbuat apa-apa padahnya amat buruk kepada kita dan keadaan itu tidak akan dapat dipulihkan," ujarnya.
Penubuhan Amanah, tegas beliau, adalah untuk menggembelingkan suara dan tenaga seluruh rakyat negara ini dalam usaha menentang wabak rasuah, kronosme, perkauman, sikap pelampau dan pembaziran yang dilakukan oleh para pemimpin negara.
Katanya, keadaan penduduk negeri yang miskin dan daif, terutama di kawasan luar bandar, mereka masih merupakan penduduk majoriti di negeri ini, mesti diperbaiki dan dimajukan melalui perancangan dan keputusan dasar yang sistematik dan sistemik, tidak melalui laungan slogan yang kosong isinya.
"Legasi dan visi Tun Razak berhubung dengan dasar-dasar pembangunan luar bandar, dasar pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan warna kulit dan keseluruhan dasar pembangunan merentas segala sektor, perlu kita jenguk semula dan jika perlu 'di-remodel' sesuai dengan keadaan dan perkembangan semasa.
"Kita akan mempromosi visi Tunku Abdul Rahman tentang pembinaan atau pewujudan 'Keluarga Bahagia Malaysia Yang Satu'.
"Kita akan memastikan bahawa hak rakyat yang asas, yang fundamental, hak yang tidak sahaja ditakrifkan dalam Perlembagaan, tetapi lebih penting hak-hak yang telah wujud dan yang dapat dikongsi bersama dalam tradisi agama, nilai moral dan budaya kita, akan dipromosi dan dipelihara sebagai rujukan fungsi negara," ujar beliau.
Dalam merealisasikan perjuangan NGO yang baru ditubuhkan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dibantu oleh 6 orang Timbalan Presiden Amanah yang terdiri daripada Datuk Seri Daniel Tajem, Datuk Dr Ong Tee Keat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Datuk Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis.
Manakala Naib Presiden Amanah pula terdiri daripada Wan Saiful Wan Jan, Dr Patau Rubis, Ong Hock Siew, Datuk Mohd Azmi Razak, Ragunath Kesavan, Tan Sri Simon Sipaun dan Mohd Lukhman Ghani.
Penubuhan dan pelancaran Amanah ternyata amat disenangi dan ditunggu-tunggu oleh orang ramai, apabila majlis pelancarannya begitu meriah dengan kehadiran ratusan orang ramai yang mewakili pelbagai bidang termasuk ahli-ahli politik, budaya, ekonomi, sejarah dan pelbagai bidang lain.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4499-perpaduan-hilang-kerana-memerintah-tak-betul-
No comments:
Post a Comment