Saturday, July 23, 2011

PEGUAM SCORPENE DIUSIR KELUAR MALAYSIA

POSTED BY ADMIN ON JULY 22ND, 2011

Peguam Perancis William Bourdon, yang berada di Pulau Pinang malam tadi untuk bercakap tentang urusniaga kontroversi pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa melibatkan sogokan berjuta ringgit kepada pegawai kerajaan Malaysia, ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).Difahamkan, beliau akan dihantar pulang menaiki pesawat menuju ke Paris pada kira-kira jam 11.30 malam ini.

Dalam mesej emelnya, Bourdon berkata semuanya baik, dan beliau akan terbang ke Paris malam ini.

Menurut Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel, pegawai imigresen masuk ke dalam pesawat untuk menahan Bourdon sebaik sahaja beliau mendarat di KLIA.”Beliau kini dibawa ke pusat tahanan imigresen di KLIA,” kata Gabriel.

Pada mulanya, pegawai imigresen tidak membenarkan isteri Bourdon, juga seorang peguam, mengikutnya ke pusat tersebut.

Selepas beberapa rundingan, beliau dibenarkan menemani suaminya.

Menurut Gabriel, pegawai imigresen “menyoal Bourdon”.

Beliau sepatutnya hadir untuk berucap dalam majlis makan malam anjuran Suara Rakyat Malaysia di Petaling Jaya malam ini, bagi mendedahkan skandal pembelian kapal selam Scorpene melibatkan komisen RM540 juta.

Bourdon semalam berada di Bayan Baru, Pulau Pinang bagi membongkarkan kes berprofil tinggi itu kepada umum, sebelum berlepas ke KLIA pagi tadi.

Peguam Perancis yang berkhidmat dengan pertubuhan tanpa keuntungan – Sherpa – dan mengkhusus dalam membela hak asasi manusia dan jenayah menentang kemanusiaan.

Dalam satu kenyataan bertulis, Bourdon berkata beliau tidak faham situasi itu kerana tiada penjelasan diberikan pihak berkuasa Malaysia.

“Saya di sini mengisytiharkan yang saya bertindak sebagai peguam kepada NGO Suaram dalam menjalankan tugas saya dan saya menjalankan tugas dan mematuhi peraturan Malaysia dan antarabangsa.

“Saya menganggap penghantaran pulang ini sebagai pencabulan kepada hak saya untuk menjalankan tugas saya sebagai seorang peguam secara bebas,” ujarnya.

Bourdon dijangka mendedahkan butiran kontroversial mengenai pembelian kapalselam negara dengan firma gergasi pertahanan Perancis DCNS.

Syarikat itu didakwa membayar komisyen “yang amat tinggi” kepada pegawai kerajaan Malaysia yang terbabit dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu.

Bayaran komisyen kepada pegawai kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.

Suaram berharap dapat mengumpulkan dana sebanyak RM100,000 daripada majlis berkenaan yang juga dijadualkan di Ipoh dan Kuala Lumpur hari ini dan esok, bagi membiayai kos perundangan dalam kes yang difailkan di Paris yang akan dibicarakan di mahkamah terbuka pada September ini.

Kes berkenaan difailkan tahun lalu oleh Suaram, melalui Bourdon dan pasukannya mengenai dakwaan DCNS membayar RM540 juta sebagai komisyen kepada Perimekar.

Perimekar adalah subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamnya adalah isteri Abdul Razak Baginda (kanan).

Abdul Razak pula adalah rakan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang didakwa terbabit dalam pembunuhan penterjemah warga Mongolia Altantuya Shariibuu tetapi kemudiannya dibebaskan.


http://www.kl-today.com/2011/07/peguam-scorpene-diusir-keluar-malaysia/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...