PAS mendakwa telah mengesan lebih 1,000 penduduk tetap (PR) di Selangor, yang telah dimasukkan ke dalam daftar pemilih yang layak mengundi, dan ini, menurut parti itu, mengukuhkan dakwaan bahawa masalah itu mungkin lebih daripada setakat ‘kecuaian teknikal’ Jabatan Pendaftaran Negara.
Selepas mengenalpasti kehadiran orang asing dalam senarai pemilih yang yang pengundi di Selangor, badan pemantau pilihan raya Pemuda PAS negeri itu, menggesa ahli di negeri-negeri lain supaya meneliti daftar tambahan pengundi yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya itu (SPR) di kawasan masing-masing.
“Di Selangor ada lebih kurang 1,100 nama penduduk tetap (PR) ini sedang dibantah oleh pihak PAS negeri dan PAS negeri-negeri lain juga diharapkan dapat meneruskan bantahan yang serupa,” kata pengarah jabatan pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzah.
Semalam, PAS Wilayah Persekutuan mendakwa telah mengesan 52 kes penduduk tetap disenarai sebagai pengundi apabila mengemukakan bantahan kepada SPR Wilayah Persekutuan.
Semalam, SPR telah menafikan penduduk tetap (PR) telah didaftarkan sebagai pengundi.Sebaliknya, kata pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof kesilapan itu mungkin berpunca akibat kecuaian teknikal Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).Katanya, hanya rakyat Malaysia yang boleh memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.
“PR tidak dibenarkan kecuali Kementerian Dalam Negeri meluluskan permohonan mereka sebagai rakyat Malaysia. Jika tidak permohonan mereka sebagai pengundi secara automatik akan ditolak oleh sistem saringan SPR selepas menyemak status mereka dengan sistem JPN – Agency Link Up System (Alis),” katanya.
Semalam, seorang penduduk tetap (PR) yang memegang kad MyPR merah telah didaftarkan sebagai pengundi baru, dia nampaknya telahpun menjadi warganegara.
Dia kini mempunyai MyKad biru, berdasarkan semakan pada sistem dalam talian yang sama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di mana butiran identifikasi dirinya direkodkan.
Semakan pada sistem pengesahan dalam talian JPN sebanyak dua kali – pada jam 5.48 petang semalam dan 11.30 pagi ini – menunjukkan nama Mismah adalah berstatus PR yang telah mengambil kad MyPRnya (No 640704715238), kad pengenalan bagi PR.
Apabila nombor yang sama dimasukkan ke dalam sistem pengesahan dalam talian SPR, Mismah yang sama adalah pengundi berdaftar yang baru.
Bagaimanapun, satu lagi semakan dengan sistem JPN pada jam 3 petang ini menunjukkan hasil yang mengejutkan – Mismah telah menjadi warganegara dengan Mykad biru.
Statusnya pada sistem pengesahan dalam talian SPR kekal sama pada jam 3 petang – pengundi yang baru berdaftar dalam senarai daftar tambahan pemilih yang dipamerkan oleh semakan umum.
http://www.kl-today.com/2011/08/1000-pr-di-selangor-boleh-mengundi/
No comments:
Post a Comment