Thursday, August 4, 2011

Keputusan Anwar panggil Najib Isnin ini

Keputusan Anwar panggil Najib Isnin ini
Ogos 3, 11 4:31pm

Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Ogos untuk memebuat keputusan berhubung permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bagi perbicaraan kes liwat yang sedang dihadapinya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, selesai mengemukakan hujahan masing-masing.

Dalam permohonan itu, Anwar memohon mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan memastikan kehadiran semua saksi, yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan di akhir kes mereka, kepada mahkamah, untuk ditemu bual oleh pihak pembelaan.

Dalam permohonan itu, Anwar mahu menemu bual Najib, Rosmah, Hasanuddin Abd Hamid, pemilik unit kondominium di mana kejadian liwat itu didakwa berlaku, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Ketua Pembangkang itu juga mahu menemu bual 10 saksi alibi sebelum beliau memberikan keterangan pada Isnin. Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemu bual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan dijadualkan dari 8 hingga 26 Ogos.

Pada akhir kes mereka, pihak pendakwaan menawarkan 71 saksi, di mana pihak pembelaan memilih untuk menemu bual 25 saksi. Daripada 25 saksi itu, hanya lima saksi telah ditemu bual setakat ini.

Mereka ialah bekas ratu pecut negara Datuk Mumtaz Jaafar, Dr Mohd Osman Abd Hamid yang pernah bertugas di Pusrawi, adik perempuan bongsu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan, seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Dr Daniel dan Khairil Anaz Yusof, pegawai khas kepada Najib semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pada awal prosiding hari ini, Karpal Singh berhujah bahawa pihak pendakwaan sepatutnya membawa saksi berkenaan ke mahkamah untuk ditemu bual oleh pihak pembelaan berikutan pihak pendakwaan telah menawarkan mereka kepada pasukan pembelaan.

Karpal berkata pasukan pembelaan sepatutnya diberikan hak untuk menemu bual mereka sepertimana ketetapan undang-undang.

Mohamed Yusof dalam hujahnya berkata dalam afidavit Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hanafiah Zakaria untuk menjawab permohonan Anwar telah menyatakan bahawa Najib, Rosmah, Musa dan Mohd Rodwan enggan ditemu bual kerana mereka bukan saksi penting dalam kes itu.

Bagaimanapun, Mohamed Yusof berkata mereka bersedia untuk ditemu bual sekiranya mereka disapina.
Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat itu, adalah saksi yang bercakap benar dan berwibawa.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, 2008, terhadap pertuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/171893

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...