Thursday, August 4, 2011

Najib & Rosmah enggan hadir mahkamah

Posted by admin on August 3rd, 2011

Empat daripada 25 saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mahu muncul di mahkamah untuk memberi keterangan jika sapina dikeluarkan ke atas mereka.Empat saksi itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak , isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof. “Mereka enggan datang ke mahkamah, untuk ditemu bual oleh (pasukan) pembela melainkan mereka diberikan sapina,” kata Peguam Cara Kanan II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden hari ini.

Temu bual biasanya akan diadakan untuk menentukan sama ada seseorang saksi boleh digunakan untuk memberi keterangan ketika perbicaraan.

Juga difahamkan bahawa seorang lagi saksi, Hasanuddin Abdul Hamid berkata dia hanya bersetuju untuk ditemu bual jika peguamnya turut hadir bersama.

“Kami menerima surat pemakluman mengenai keengganan mereka untuk ditemu bual dan mereka hanya akan muncul di mahkamah jika dikeluarkan sapina,” kata peguam Anwar Sankara Nair.

Najib adalah antara saksi yang mahu dipanggil ke mahkamah oleh peguam Anwar kerana pernah menemui pengadu, Saiful Bukhari Azlan dua hari sebelum dia membuat laporan polis memfitnah Anwar.

Najib sebelum ini memberikan alasan Saiful bertemunya atas urusan biasiswa sedangkan Saiful sebenarnya adalah pelajar yang gagal menamatkan pengajian di sebuah universiti swasta.

Perbicaraan kes Liwat II akan disambung semula pada 8 Ogos sehingga 26 Ogos depan.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Zabidin Mohd Diah selepas beliau kekal mendengar kes ini walaupun peguambela sudah memohon untuk mengenepikannya daripada terus mendengar kes.

Pada 6 Julai lalu, Anwar telah gagal dalam usaha ketiganya menggugurkan hakim Mohd Zabidin Mohd Diah daripada terus mendengar kes liwat beliau dan mahu membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mohd Zabidin berkata pendakwa raya telah membuktikan kesemua keterangan dan saksi untuk mempertahankan tuduhan ke atas Anwar.

Anwar, 63, dituduh meliwat Saiful di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Ini kes liwat kedua melibatkan Anwar selepas yang pertama 13 tahun lalu.


http://www.kl-today.com/2011/08/najib-rosmah-enggan-hadir-mahkamah/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...