There was an error in this gadget

Thursday, August 4, 2011

Saksi: Surat Ling kepada Dr M tak ikut penilaian JPPH

Ogos 3, 11 8:52pm

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik mengemukakan surat mengandungi terma persetujuan yang berbeza dengan cadangan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Penilaian JPPH Datuk Mani Usilapan, 61, berkata lampiran mengenai terma-terma persetujuan bersama Kuala Demensi Sdn Bhd (KDSB) yang dihantar pada 29 Jun 2002 menyatakan kadar pembelian tanah di Pulau Indah adalah sebanyak RM25 sekaki persegi (skp) sedangkan JPPH menetapkan nilai sebanyak RM21 skp.

Katanya menerusi surat bertajuk 'Cadangan Pengambilan Balik Tanah Di Pulau Indah Untuk Pembangunan Pusat Distripark Serantau Di Pelabuhan Klang', lampiran itu turut menyatakan keluasan tanah yang akan dibeli adalah seluas 999.5 ekar (kira-kira 404.5 hektar) dan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456,000 tetapi pihak JPPH hanya membuat penilaian ke atas tanah seluas 830 ekar (kira-kira 335.9 hektar) sahaja.

Mani berkata antara terma lain yang dilampirkan bersama surat tersebut adalah tempoh bayaran balik berdasarkan kaedah pembayar tertangguh ialah selama 15 tahun; pendahuluan sebanyak 10 peratus dibayar sebagai "Earnest Money" di dalam dua peringkat (2 peratus setelah mendapat kelulusan dan 8 peratus sebaik sahaja perjanjian ditandatangani); kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun dan moratorium selama empat tahun.

Mani yang disoal ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup berkata kesemua terma tersebut bukan yang dicadangkan oleh JPPH.

Katanya JPPH hanya mempertimbangkan cadangan tempoh bayaran balik selama 10 tahun, bayaran pendahuluan tahun pertama sebanyak 5 peratus dan kadar kupon 6 peratus.

Selain itu Mani berkata berikutan penilaian ke atas 999.5 ekar, jumlah yang diperoleh daripada kadar RM25 skp menyebabkan kos lebihan sebanyak RM720 juta.

Sementara itu ketika disoal balas oleh peguam Wong Kian Kheong, Mani berkata kesemua cadangan yang dipersetujui JPPH telah diberitahu kepada ketuanya iaitu bekas Ketua Pengarah Penilaian JPPH Datuk Sahari Mahadi.

Mengenai nilai RM25skp adalah untuk jumlah faedah bagi tempoh lebih daripada 10 tahun, katanya berkata beliau tidak memaklumkan kepada Sahari.

Mani berkata pada 9 Oktober 2000, beliau telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan berhubung cadangan membeli tanah di kawasan yang sama seluas 830 ekar dan memutuskan bahawa kadar nilai tanah untuk maksud pengeluaran kos sekiranya tempoh bayaran balik dipanjangkan kepada 15 tahun, berasaskan terma-terma yang sama seperti untuk tempoh bayaran balik 10 tahun.

"Dengan andaian yang sama kadar yang diperolehi adalah RM25.82 skp," katanya.

Ketika ditanya Wong sama ada JPPH mempunyai statistik atau peratusan ke atas penilaian yang dibuat jabatan itu (diikuti atau tidak) oleh agensi kerajaan, Mani berkata: "Tiada statistik."

Dr Ling didakwa menipu Kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan dia tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 November 2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung esok.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/171929

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...