Saturday, September 17, 2011

JAMIL NAFI GUNA ZAKAT UNTUK BESAR RUMAH

pOSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 15TH, 2011

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar sebelah kanan) pada Khamis sedia bersumpah bagi membuktikan beliau tidak menggunakan wang zakat untuk membesarkan rumahnya yang terletak di Kampung Batu Muda, Batu Caves.Jamil menegaskan bahawa beliau telah tinggal di kediaman tersebut bersama keluarganya sejak 1994 dan kerja-kerja pengubahsuaian yang dijalankan adalah menggunakan wang sendiri.

“Wallahi..saya tak pernah ambil duit zakat pun. Kalau saya ambil duit zakat takkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dapat audit bersih tahun lalu.

“Saya berani bersumpah, kalau mereka berani,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berhubung Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis.

Pada Rabu, blog Malaysia Today milik Raja Petra Kamaruddin menyiarkan sebuah artikel yang mendakwa Jamil Khir mempunyai sebuah rumah agam bernilai jutaan ringgit di Kampung Batu Muda.

Dalam laporan tersebut mereka memetik, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin sebagai berkata, Jamil perlu menjelaskan bagaimana beliau mampu mempunyai rumah tersebut sedangkan baru tiga tahun dilantik sebagai menteri dengan gaji kurang daripada RM15,000 sebulan.

Mengulas lanjut, Jamil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai ‘politik terdesak’ pihak tertentu yang cuba untuk merosakkan imejnya.

“Saya pun tak nak panjangkan sangat isu ini. Saya dulu pun bukan penggangur.

“Dalam tentera pangkat terakhir saya ialah Mejar Jeneral, jadi takkan lah susah sangat untuk seorang Mejar Jeneral hendak beli rumah,” katanya.

Jelasnya, beliau telah tinggal di rumah berkenaan sejak tahun 1994 dan kerja-kerja pengubahsuaian yang dijalankan adalah kerana pertambahan ahli keluarga yang tinggal bersamanya.

“Sudah 17 tahun saya duduk di sana, tak tahulah kenapa baru tiba-tiba mereka bangkitkan isu ini. Saya pegawai tentera yang dapat pencen dan lepas bersara, saya dapat ganjaran walaupun tak sampai sejuta, tapi RM500,000 adalah.

“Kami keluarga besar, saya ada enam anak, ibu bapa dan makcik saya pun tinggal sekali. Rumah ini pun saya beli secara hutang, tak habis bayar sejak 1994 lagi, mereka boleh rujuk. Ini bukan rumah baru yang saya beli masa jadi menteri,” katanya.

http://www.kl-today.com/2011/09/jamil-nafi-guna-zakat-untuk-besar-rumah/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...