Aspan Alias
Pengumuman memansuhkan ISA oleh Perdana Menteri semalam kita alu-alukan, tetapi jangan merayakannya terlalu awal kerana kita belum lagi melihat deraf Akta baru yang akan mengambil tempat ISA itu.Lagi pun perjuangan kita bukan setakat memansuhkan ISA tetapi banyak lagi isu yang lebih merbahayakan negara dari isu pemansuhan ISA ini. Mansuhnya ISA itu tidak bermakna semuanya telah selesai dan kita boleh hidup dalam keadaan aman dan tanpa disedari kita dilelapkan mata atau ditutupi pandangan kita daripada isu-isu besar lain yang telah menjadi kudis kepada kehidupan rakyat.
Tentulah isu pemansuhan ISA dan pemansuhan tiga deklarasi dharurat ini akan dijadikan modal politik oleh pihak pemerintah untuk mennagih sokongan ramai dalam pilihanraya nanti malahan pemerintah ingin menggunakan isu ini untuk mengadakan pilihanraya secepat yang mungkin. Sebagai pemerintah tentulah mereka mahu satu isu yang mereka anggap besar bagi menutupi isu-isu besar yang lain dari pandangan rakyat.
Dalam keadaan politik sekarang pemansuhan ini tidak mungkin memberikan apa-apa tambahan kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan kerana Najib Razak masih lagi membisu terhadap isu Bersih dengan 8 tuntutannya yang melibatkan orang ramai.
Apa yang jelas apa yang dilakukan oleh Najib ini merupakan tindakan unilateral beliau sahaja kerana hanya sehari sebelum pemansuhan ini Hishammuddin Hussein masih masih lagi menyatakan bahawa ISA belum lagi ada pertimbangan kerajaan untuk dimansuhkan.
Isu ISA ini tidak pula melibatkan rakyat yang ramai kerana ianya hanya berkaitan dengan segelintir yang bergerak dalam siasah dan politik dan hanya melibatkan beberapa orang sehaja jika ISA dilaksanakan terhadap mereka. Tetapi isu rasuah merupakan isu yang terbesar yang dihadapi oleh kerajaan pada hari ini.
Mungkin pemimpin kerajaan akan berfikir yang setelah ISA dimansuhkan ianya akan mendapat markah yang tinggi dan akan mendapat sokongan rakyat, tetapi hakikatnya persepsi rakyat terhadap kebersihan pentadbiran pimpinan pada hari ini sentiasa bertambah dari hari ke hari dan bulan kebulan.
Bagi mereka yang giat memperjuangkan pemansuhan ISA ini mereka tetap meletakan isu rasuah dan salah guna kuasa sebagai isu yang terhadapan sekali. Rakyat masih tidak berhenti untuk memperjuangkan isu rasuah ini kerana Akta Rahsia Resmi 1971 masih tidak di sentuh oleh Najib.
Akta ini telah menghalang rakyat untuk melihat ketelusan kerajaan dalam pengendalian kerajaan. Akta Rahsia Resmi ini contohnya telah menghalang rakyat untuk mengetahui kandungan dan cara kerajaan memberikan konsessi lebuhraya kepada syarikat konsessi.
Isu konsesi lebuhraya ini merupakan isu yang besar kerana rakyat sangat terbeban dengan kos perjalanan di anatara satu tempat dengan tempat yang lain. Masih belum diberitahu rakyat bila konsesi ini akan berakhir kerana sedang menunggu masa untuk berjalan tanpa halangan toll di mana-mana.
Segala-gala projek besar yang dirunding terus kebanyakannya dilindungi oleh Akta Rahsia Resmi ini dan maka rakyat berkeyakinan yang ada perkara-perkara yang cuba dilindungi dari pengetahuan rakyat dan dalam kerahsiaan inilah berlakunya rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan pemimpin dan pelaksana kerajaan. Perkara ini sudah berlarutan sejak hampir tiga dekad dahulu dan ianya harus dihentikan. Oleh kerana kerajaan tidak mampu untuk memberhentikannya elok rakyat yang melakukan perubahan ini.
Rakyat tahu, jika kita mahukan kepastian untuk mewariskan kehidupan yang baik semasa kita sudah tiada lagi ialah dengan mewariskan kerajaan yang telus dan bersih dari rasuah. Rakyat sekarang berwajib untuk mengambil alih perjuangan membenteras rasuah ini kerana pemimpin kita tidak boleh diharapkan untuk memperjuangankan isu negara yang sangat besar ini.
Rakyat berhak untuk melalui proses “trial and error” sehingga sampai ke matlamat mendapat kerajaan dan pemerintah yang bersih dari rasuah dan salah guna kuasa ini. Rakyat sudah telalu mual dan tidak lagi mudah untuk termakan retorik dan ucapan yang bergegar-gegar kerana mereka sudah sedar bahawa selama ini mereka telah terpedaya dengan janji dan retorik kosong yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang ada pada hari ini.
Apa yang rakyat mahu sekarang ialah untuk melakukan pilihan secara telus dan itulah sebabnya rakyat tidak mahu lagi usaha mereka untuk membuat pilihan mereka tergendala oleh kerana penipuan yang mereka rasakan dilakukan oleh pihak yang berkuasa setiap pilihanraya berlaku.
Kita mesti bertegas dengan desakan untuk melaksanakan pilihanraya secara gentleman dan telus. Pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab mutlak untuk mempastikan desakan ini dituruti dengan tindakan yang jujur untuk diperbaiki dan diperbetulkan. Jangan biarkan rakyat merasa tertekan dengan “intrigue” kotor yang sering dilakukan sejak zaman berzaman.
Tuntutan pembangkang untuk bersama-sama menggunakan media masa perdana untuk menyampaikan mesej kepada rakyat semasa pilihanraya merupakan satu tuntutan yang wajib dilaksanakan kerana selama ini media massa perdana sperti TV1, TV2 TV3 dan yang lain-lain hanya dikuasai oleh pemerintah sedangkan saluran TV itu adalah milik rakyat yang menggunakan wang dari cukai rakyat termasuk ahli-ahli parti pembangkang.
Jika parti pembangkang tidak dibenarkan menggunakan saluran-saluran TV milik rakyat itu saya cadangkan supaya ahli-ahli pembangkan dikecualikan dari membayar semua cukai kepada kerajaan. Najib perlu mengambil langkah adil kepada semua pihak termasuk parti-parti pembangkang di dalam pilihanraya umum nanti.
Rakyat yang tertekan akan membawa padah yang buruk kepada negara dan ini telah terbukti dengan apa yang kita lihat berlaku di banyak negara di dunia ini dalam mana sekuat mana pun sesebuah kerajaan itu jika tolak oleh rakyat kerajaan itu akan jatuh bergelimpangan di hadapan mata rakyatnya sendiri.
Seperkara yang perlu dilakukan oleh Najib sekarang ialah untuk menggunakan pengaruh pihak Lagislatif untuk menggubal undang-undang yang ketat supaya rakyat tidak dibenarkan bercakap tentang isu-isu rasis yang boleh memecah belahkan rakyat yang berbilang kaum di negara ini.
Selagi usaha ini tidak dilakukan selagi itulah kita tidak boleh mengaku yang pimpinan kita telah melaksanakan transformasi seperti yang diwar-warkan oleh mereka melalui media massa perdana dan lain-lain.
— aspanaliasnet.blogspot.com
http://www.kl-today.com/2011/09/jangan-terburu-buru-nanti-kecewa/
No comments:
Post a Comment