Saturday, September 17, 2011

Unit Amal sertai perarakan merdeka dibatal

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 15 Sept: Unit Amal Temerloh kecewa apabila penyertaan mereka dalam perarakan sambutan merdeka di bandar ini esok dibatalkan pada saat akhir walaupun sebelum ini diundang secara rasmi.

Ketuanya, Meor Darul Zakbar Endut, berkata cara pembatalan penyertaan mereka yang hanya disampaikan melalui lisan dan terburu-buru juga dianggap seolah-olah tidak menghormati pihak lain.

“Kami Pemuda Unit Amal sudah biasa menyertai perarakan, jadi apabila PAS kawasan dijemput secara rasmi oleh penganjur sambutan kemerdekaan ke-54 dan mewakilkan kami untuk perarakan itu, kami gembira.

“Semasa rehearsal hari semalam kami masih boleh berarak dengan lain-lain kontinjen. Tetapi pagi ini apabila 30 orang Unit Amal mahu menyertai rehearsal kedua, pegawai polis selaku penyelaras sambutan telah melarang kami untuk berarak dan memita kami tidak lagi terlibat untuk perarakan sebenar besok,” katanya ketika menemui Harakahdaily.

Tambahnya, beliau kesal tidak diberikan sebab mengapa penyertaan Unit Amal dibatalkan sedangkan sebelum ini dijemput.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kawasan Temerloh Ahmad Zubir Omar, mengesahkan PAS telah dipelawa menyertai perarakan kemerdekaan tersebut melalui surat rasmi yang ditujukan kepadanya.

Bagaimanapun setelah mendapat maklumat Unit Amal PAS dihalang, beliau telah menelefon seorang pegawai polis.

“Pegawai berkenaan hanya memaklumkan mereka menerima arahan dari pihak atasan,” katanya.

Pasukan Unit Amal kawasan pernah mendapat tempat ketiga pada perarakan kemerdekaan pada 2009.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5436-unit-amal-sertai-perarakan-merdeka-dibatal

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...