Saturday, September 17, 2011

Salahudin cadang Dr M jadi PM semula

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya kembali menjadi Perdana Menteri untuk membolehkan pilihan raya diadakan lewat sedikit.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata berkata, hanya itu sahaja caranya untuk meredakan kebimbangan bekas Presiden Umno itu terhadap ketidakmampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui Umno dan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya akan datang serta melaksanakan hasratnya supaya pilihan raya dilewatkan.

Beliau berkata demikian ketika menolak reaksi Dr Mahathir yang menekankan penentuan tarikh pilihan raya umum di negara ini adalah "hak keistimewaan" kerajaan dan tiada pihak boleh mempertikaikannya.

Sebelum itu, Pakatan Rakyat (PR) mahu terlibat sama menentukan tarikh pilihan raya umum bagi membolehkan cadangan pembentukan jawatankuasa khas parlimen (PSC) berhubung pembaharuan pilihan raya mempunyai masa mencukupi menjalankan tugas.

Menurut PR, amalan di United Kingdom dalam persepakatan penentuan tarikh pilihan raya boleh dijadikan contoh.

"Kami hanya mengemukakan cadangan untuk nama baik negara ini yang semakin tercemar amalan demokrasinya dan jika kerajaan benar-benar serius mengadakan reformasi pilihan raya.

"Jika kami perlu menjadi kerajaan dahulu untuk membolehkan kami mengemukakan cadangan, nampaknya Dr Mahathir juga perlu kembali menjadi Perdana Menteri terlebih dahulu sebelum mencadangkan supaya pilihan raya dilewatkan," kata Salahuddin.

Dr Mahathir sebelum ini mencadangkan Najib melewatkan pilihan raya umum ke-13 dan merasakan bahawa Perdana Menteri sewajarnya menggunakan masa yang ada untuk meneliti calon-calon terbaik yang akan mewakili BN.

Bekas Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai komen-komen mendakwa ketua-ketua bahagian parti komponen BN sedang bertelingkah satu sama lain untuk menjadi calon pilihan raya.

The Malaysian Insider pernah melaporkan bahawa kepimpinan Umno berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan sokongan ketua-ketua bahagian di sesetengah negeri khususnya berkaitan dengan soal calon.

Pandangan Dr Mahathir supaya pilihan raya dilewatkan itu dibuat selepas beliau mengakui kejatuhan populariti Najib.

Beliau menyifatkan kemerosotan imej Najib itu antara lain berpunca dari cara kerajaan menangani perhimpunan Bersih 2.0 pada awal Julai lalu.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5434-salahudin-cadang-dr-m-jadi-pm-semula

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...