Saturday, September 17, 2011

ROSMAH: PELAJAR LELAKI KENA LEBIH RAJIN

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 15TH, 2011

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Rabu menyeru pelajar lelaki menggandakan usaha untuk mendapat tempat masuk ke universiti.Beliau berkata jurang perbezaan di antara pelajar lelaki dan perempuan di universiti tempatan amat ketara. “Hanya 37 peratus pelajar lelaki berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti berbanding 63 peratus pelajar perempuan.”Apa yang penting, para pelajar akan diberi motivasi untuk sentiasa berusaha mencapai keputusan terbaik dalam pelajaran dan seterusnya berjaya menjejakkan kaki ke universiti dalam mengatasi jurang perbezaan itu,” katanya.

Rosmah berkata demikian dalam ucapannya sebelum melancarkan Program Selangkah ke Universiti di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) yang berlangsung selama sehari, di sini.

Turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UM Tan Sri Dr Ghauth Jasmon.

Seramai 520 pelajar tingkatan empat berbilang kaum dari 14 buah kawasan Parlimen di Selangor dan Wilayah Persekutuan dipilih mengikuti program anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Kementerian Pengajian Tinggi dan 11 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Pelajar yang terpilih terdiri daripada mereka yang berpotensi berjaya dan tidak mempunyai ahli keluarga yang pernah belajar di universiti.

Dalam program itu, pelajar mengikuti ceramah motivasi, aktiviti latihan dalam kumpulan dan dibawa melawat ke beberapa tempat di sekitar kampus UM.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Bakti berkata program itu melambangkan keprihatinan Bakti mengenai kemajuan dan kejayaan akademik di kalangan pelajar sekolah selain dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang berpengetahuan, terdidik dan cemerlang.

Selain itu, beliau menyeru ibu bapa dan masyarakat agar sentiasa memimpin dan membantu mengembangkan bakat para remaja agar mereka menjadi insan yang berguna pada masa depan.

“Remaja yang memiliki potensi dan bakat harus diasuh dan dididik dengan sempurna supaya dapat memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara,” kata beliau.

Sementara itu, seorang peserta, Mahirah Haidar Mohamad Helmi, 16, berkata dia amat bertuah kerana terpilih menyertai program itu dan menanam cita-cita menjadi seorang yang berjaya.

“Saya berasa bertuah dan gembira kerana dipilih berada di sini bersama pelajar-pelajar lain serta mendapat gambaran mengenai kehidupan sebagai pelajar universiti,” katanya.

Mohamad Ikmal Kamaruddin, 16, yang bercita-cita menjadi seorang akauntan berkata melalui program itu, dia dapat melengkapkan diri untuk menjadi seorang pelajar universiti kelak.

“Saya seronok kerana berpeluang didedahkan kepada pengajian di universiti seterusnya membolehkan saya membuat perancangan awal,” katanya.


http://www.kl-today.com/2011/09/rosmah-pelajar-lelaki-kena-lebih-rajin/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...