Prof Dr Zainal Kling (gambar) dari Majlis Profesor Negara, yang sejak minggu lalu berhadapan dengan kritikan ekoran pendiriannya bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British, hari ini menjelaskan pendiriannya — beliau juga melihat kemunculan kuasa Eropah itu sebagai satu “penjajahan.”“. . . ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain,” kata beliau dalam e-mel penjelasan kepada Harakahdaily hari ini.
Namun, kata beliau, terdapat sedikit perbezaan antara penjajahan berbentuk koloni seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat iaitu Singapura, Melaka dan Pulau Pinang serta di Kanada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk “protectorate” dalam Negeri-negeri Bersekutu dan Negeri-negeri Tidak Bersekutu.
Katanya, Singapura mempunyai Sultan Husin Syah tetapi kerana pulau itu sebuah koloni, maka institusi raja tersebut terhapus begitu sahaja.
“Sebaliknya, Kelantan adalah sebuah ‘protectorate’ maka institusi raja, keistimewaan Melayu serta pelbagai peruntukan perundangan Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri itu dapat kekal hingga menjadi bentuk kerajaan pada masa ini.
“Perbezaan ‘tipis’ (seperti kata Pakar Perlembagaan Profesor Aziz Bari) ini harus menjadi pemahaman oleh semua, bukan hanya oleh pakar yang bijaksana kerana ia mempunyai makna dan implikasi yang amat asasi serta bernatijah dalam kewujudan warganegara, negara dan negeri masa kini dan akan datang,” kata Zainal lagi.
Selain Zainal, pendirian yang seiring juga dilontarkan oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
Kenyataan mereka mengundang kontroversi baru ketika polemik mengenai kenyataan berkaitan tragedi Bukit Kepong pula belum reda.
Malah awal minggu ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu.
Perdana Menteri keempat itu berkata, British telah bertindak seolah-olah “kita dijajah.”
“Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini.
“Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah,” kata beliau.
Laporan media hujung minggu lalu menyebut berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu “tidak pernah terjajah”, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.
Bagaimanapun Aziz dan Pengerusi Yayasan 1 Malaysia Dr Chandra Muzaffar tidak bersetuju dengan pendirian mereka sambil menegaskan negara ini pada hakikatnya telah dijajah oleh kuasa asing termasuk British.
Dalam penjelasannya, Zainal juga berkata, Negeri-negeri Bersekutu atau Negeri-negeri Tidak Bersekutu tidak pernah menjadi koloni atau tanah jajahan British.
“Tanah Melayu tidak pernah terjajah kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura walaupun kesan pentadbiran itu merupakan satu bentuk ‘penjajahan’.
“Penilaian pengkaji sejarah kolonialisme British terhadap perilaku ‘penjajahan’ British itu disifatkan sebagai ‘breach of trust’ dan ‘indirect rule’. . . mereka melakukan penjajahan walaupun tidak sahih,” katanya.
Kata beliau, pada realitinya ketika zaman British ada beza antara pentadbiran Singapura dengan Kelantan atau Terengganu.
“Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar. Kedua, walaupun antara koloni dan ‘protectorate’ berbeza tetapi kesan dari pentadbiran ‘protectorate’ adalah juga penjajahan.
“Oleh kerana itu, para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai pecah amanah. Para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai pemerintahan tak langsung. Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai ‘penjajahan’ juga,” tambah beliau.
Pemuda PAS pula hari ini membuat laporan polis terhadap Dr Zainal berhubung kenyataannya bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah.
Ketua dewan itu Nasrudin Hassan berkata, laporan itu dibuat pada jam 2.30 tadi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi oleh setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil.
http://www.kl-today.com/2011/09/zainal-kling-tukar-pendirian/
No comments:
Post a Comment