Saturday, September 17, 2011

Kelantan kaji tol paling minimum

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Kerajaan Negeri Kelantan memberi jaminan mengenakan tol paling minimum kepada pengguna Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (Lebuh Raya KBKK) yang akan dibina secara swasta kelak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Perancangan Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa (gambar), kerajaan negeri akan mempertimbangkan segala aspek sebelum menentukan kadar tol tersebut kepada pengguna agar ianya tidak terlalu membebankan.

"Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai penting untuk rakyat Kelantan.

"(Bagaimanapun) Kita akan kenakan satu tol yang tidak membebankan rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Kerajaan Kelantan sebelum ini mengumumkan untuk mengambil inisiatif sendiri bagi membina Lebuh Raya KBKK secara swasta.

Ianya ekoran tindakan kerajaan Pusat menarik balik peruntukan untuk projek itu yang telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) sebelum ini.

Biarpun dirayu beberapa kali oleh kerajaan negeri, peruntukan tersebut masih belum dimasukkan untuk RMK10.

Sehubungan itu kerajaan negeri Kelantan membuat keputusan melaksanakan projek itu secara swasta.

"Dalam RMK9 kita dah cadang kepada Pusat dan sudah diperuntukan dalam RMK-9 tetapi peruntukan itu ditarik balik dalam RMK10.

"Kita telah merayu kepada pusat tetapi belum dimasukkan dalam RMK10," kata Husam lagi.

Projek Lebuh Raya KBKK merupakan sebuah projek swasta bagi membangunkan sebuah lebuh raya empat lorong sepanjang 63 kilometer yang menghubungkan Kota Bharu dengan Kuala Krai.

Laluan ini akan melalui beberapa bandar kecil seperti Ketereh, Kok Lanas, dan Machang.

Projek ini telah diluluskan oleh kerajaan negeri Kelantan melalui Mesyuarat Exco yang telah diadakan pada 10 Ogos 2011.

Projek tersebut dijangka menelan belanja kira-kira RM1.9 bilion termasuk RM500 juta untuk pembinaan jejambat (flyover) dari Persimpangan Wakaf Che Yeh sehingga ke Persimpangan Wakaf Siku dekat KB Mall.

"Kita telah tubuhkan jawatankuasa teknikal terdiri daripada peguam, jurutera dan lain-lain untuk menasihatkan kerajaan bagi mengurangkan kos pembinaan sekaligus mengurangkan kadar tol," kata Husam lagi.

Projek ini dijadual bermula pada 2012 dan dijangka siap pada 2015.

Lebuh raya ini juga akan bersambung dengan Lebuh Raya Utama Tengah (Central Spine Expressway) di Kuala Krai, Kelantan.

"Sebab itu kita kena bagi Pakatan Rakyat ambil alih kerajaan Pusat pada PRU-13 nanti.

"Jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, kita akan mintak bayaran royalti Kelantan dibayar kepada kerajaan negeri.

"Jadi dengan duit royalti itu kita akan ambil semula lebuh raya itu dan akan hapuskan tol," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5419-kelantan-kaji-tol-paling-minimum?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&utm_campaign=harakahdaily

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...