Sunday, September 21, 2008

Agen Amerika: AMK Bidas Kenyataan Biadap Rais Yatim

Ditulis oleh Editor
Sunday, 21 September 2008

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar kenyataan biadap dan dangkal yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Negeri, Dr. Rais Yatim hari ini yang cuba menimbulkan spekulasi mengenai hubungkait Amerika Syarikat dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Dipetik melalui laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini, Rais dipetik sebagai berkata Wisma Putra memperoleh maklumat bahawa ada pihak tertentu dari Amerika Syarikat Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk memperkotak-katikkan dan menghuru-harakan Malaysia.

Kenyataan biadap ini dipercayai adalah satu usaha terdesak Umno-BN melalui propaganda murah Utusan Malaysia yang kelihatan mahu mengucar-kacirkan sokongan rakyat di sebalik kemelut kepimpinan negara yang dihadapi oleh Umno khususnya.

Propaganda murahan mengenai 'Anwar Agen Amerika' ini telah disebarluas sebegitu lama, paling hangat sewaktu kempen Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada bulan Ogos lepas.

Tanpa mereka sedari, di bawah kerajaan Umno-BN jugalah Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) antara Malaysia-Amerika Syarikat begitu hebat digerakkan dalam keadaan FTA ini ditentang oleh kebanyakan ahli ekonomi dan rakyat peringkat pertengahan.

Kebergantungan ekonomi Malaysia ke atas Amerika Syarikat juga memperlihatkan ia menyumbang hampir 53.2 peratus jumlah eksport Malaysia sehingga Jun 2008. Ini pastinya berlaku di bawah pentadbiran Umno-BN tanpa sebarang campur tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, Umno sendiri pada tahun 2002 sanggup menggadai sebanyak RM4.6 juta wang rakyat hanya semata-mata mahu mengupah pelobi Yahudi, Jack A. Abramoff untuk mengatur pertemuan antara Mahathir Mohamad dengan Presiden George Bush.

AMK yakin dan percaya propaganda murah sebegini begitu terdesak direncanakan memandangkan mereka gagal menyekat kemaraan Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya dalam tempoh terdekat.

AMK mendesak agar Rais Yatim memberikan justifikasi jelas mengenai tuduhan palsu beliau dengan kadar segera. AMK juga tidak teragak-agak untuk menyaman Utusan Malaysia kerana bertindak mengapi-apikan sentimen rakyat dengan nilai pemberitaan yang rendah dan jumud sekiranya mereka gagal menarik balik berita tersebut dalam tempoh 24 jam.


http://buletinonline.net/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...