Sunday, September 21, 2008

Malang tak sudah



Oleh ZAINUDDIN ZAIN
zainuddin@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Mohd Ismail Sulaiman, 35, menyangka dia sudah melakukan perkara betul apabila menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang menyalahgunakan identiti dan maklumat peribadinya sebelum menyerahkan lelaki itu kepada polis pada 2001.

Bagaimanapun, anggapan Mohd Ismail meleset kerana tindakan itu menyebabkan dia dirundung masalah lebih besar berikutan lelaki terbabit didakwa di mahkamah dengan menggunakan identitinya sebelum didapati bersalah dan seterusnya, menerima hukuman.

Kesilapan teknikal itu menghadirkan mimpi ngeri dan mengubah sama sekali kehidupan Mohd Ismail apabila dia diisytiharkan muflis sejak 2005.

Semuanya disebabkan tindakan penjenayah terbabit yang membuat beberapa pinjaman peribadi, perumahan, kenderaan bernilai ratusan ribu ringgit namun tidak menjelaskan bayarannya.

Lebih malang lagi, Mohd Ismail sukar mencari pekerjaan apabila rujukan menunjukkan dia ada rekod jenayah dan pernah dihukum 24 bulan penjara serta tiga sebatan. Hakikatnya, rekod jenayah dan hukuman itu dijatuhi ke atas lelaki warga Bangladesh yang mencuri KPT dan menggunakan identitinya.

Pada masa ini, Mohd Ismail yang mempunyai dua isteri dan tujuh anak berusia antara lima bulan hingga 16 tahun, bekerja sebagai pembantu restoran dengan pendapatan antara RM30 hingga RM35 sehari.

“Saya cukup merana kerana menjadi mangsa, biarpun cukup berhati-hati dan tidak pernah kehilangan kad pengenalan sepanjang hidup saya. Semuanya akibat perbuatan penjenayah warga Bangladesh itu yang ‘mencuri’ identiti saya,” katanya.

Mengimbas kejadian itu, Mohd Ismail berkata, dia hanya mengetahui identitinya digunakan penjenayah terbabit apabila menerima notis tarik kereta daripada Maybank cawangan Pudu, Kuala Lumpur pada 2001.

“Di dalam surat itu tertera saya membuat pinjaman sejak 1999 bagi van Nissan Vanette bernombor pendaftaran WHA 2298 dan ansuran bulanannya tertunggak tiga bulan.

“Nasib baiklah pada 2000 saya membeli kereta Proton Saga melalui Maybank cawangan Pulau Pinang dan ini membolehkan notis mengenai van berkenaan dihantar ke alamat terbaru saya.

“Saya kemudian ke Kuala Lumpur (dari Pulau Pinang) pada 21 April 2001 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai hal itu,” katanya kepada Metro Ahad.

Mohd Ismail berkata, dia berjumpa dengan Penolong Pengurus Maybank cawangan Pudu bernama Azman Thesaraie yang menunjukkan dokumen asal perjanjian jual beli berkenaan.

“Nyata tandatangan kami berbeza kerana warga Bangladesh itu menandatangani dengan hanya menulis perkataan ‘ABU’. Saya dan pegawai bank kemudian merancang usaha menjerat penjenayah terbabit. Dia dihubungi oleh pihak bank supaya datang ke bank dan menjelaskan sedikit ansuran bulanan jika tidak mahu vannya ditarik.

“Dia (lelaki warga Bangladesh) itu kemudian merayu untuk membayar RM200 atau RM300 dulu dan pihak bank berpura-pura bersetuju untuk memastikan dia datang,” kata Mohd Ismail.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian datang dengan menunggang motosikal Honda EX5 dan hanya berselipar. Sebaik tiba di bank, dia ditangkap.

“Dia kemudian mengaku membayar RM3,000 kepada seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membeli kad pengenalan sementara sebelum ‘dinaik taraf’ kepada kad pengenalan dan lesen memandu.

“Dia kemudian membawa kami ke tempat dia berurusan dengan pegawai ‘JPN’ berkenaan pada 1998 di Cheras (Kuala Lumpur) tetapi malangnya kawasan itu sudah dirobohkan untuk pembinaan projek baru,” katanya.

Mohd Ismail berkata, penjenayah itu kemudian diserahkan kepada Balai Polis Tun HS Lee di Kuala Lumpur. Selepas itu, dia tidak tahu perkembangan kes berkenaan sehinggalah pada 2005 apabila usahanya untuk menunaikan cek yang diterimanya daripada tugas mengajar silat ke dalam akaun Maybank ditolak.

“Saya kemudian pergi ke Maybank Pulau Pinang dan diminta berurusan dengan cawangan asal di Butterworth dan di situlah, saya mendapat maklumat yang semua akaun saya disita kerana saya dalam proses diisytiharkan muflis.

“Saya kemudian menjalankan siasatan sendiri dan mendapati lelaki warga Bangladesh yang saya tahan pada 2001 itu sudah didakwa dan dijatuhi hukum pada 6 Jun tahun yang sama di Mahkamah Sesyen 2 Kuala Lumpur.

“Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan tiga sebatan tetapi yang menimbulkan persoalan ialah mengapa dia didakwa di atas identiti saya,” katanya.

Mohd Ismail berkata, dia mungkin tidak berpelajaran tinggi tetapi pendakwa raya sepatutnya mendapatkan identiti sebenar penjenayah itu daripada Kedutaan Bangladesh, bukannya menggunakan kad pengenalannya.

“Saya cuba mendapatkan penjelasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) punca saya tidak tahu pun mengenai perjalanan kes itu sedangkan saya sebagai saksi utama.

“Saya dimaklumkan oleh seorang pegawai polis yang kes itu tidak memerlukan kehadiran saya sebagai saksi kerana tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan. Beliau, bagaimanapun, mengaku berlakunya kesilapan teknikal menyebabkan tertuduh didakwa menggunakan identiti saya,” katanya.

Apabila ditanya di mana lelaki Bangladesh yang mencuri identitinya, Mohd Ismail berkata, dia sendiri tidak tahu tetapi yakin lelaki itu yang kini sudah bebas masih di Malaysia kerana dipercayai sudah berkahwin dengan wanita tempatan.

“Sekiranya dia diambil tindakan menggunakan identiti saya, pasti dia kini sudah bebas dan berkemungkinan mengulangi perbuatannya. Saya melantik peguam untuk membersihkan nama saya sejak 2005 lagi tetapi di sebalik berpuluh surat yang dihantar peguam saya kepada pihak bertanggungjawab, hanya satu atau dua berbalas.

“Itupun tidak menjawab persoalan sebaliknya sekadar memberikan maklumat yang kami sendiri sudah tahu seperti tarikh dan bentuk hukuman ke atas warga Bangaladesh berkenaan,” katanya.

Mohd Ismail sendiri mengambil inisiatif dengan berjumpa Ketua Polis Pulau Pinang pada 2006, Datuk Christopher Wan Soo Kee tetapi dimaklumkan yang polis negeri ini tidak dapat berbuat apa-apa kerana kes dikendalikan polis Kuala Lumpur.

“Saya cuba berjumpa dengan banyak pihak termasuk bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tetapi semua usaha menghadapi jalan buntu sehingga sekarang,” katanya.

Menurutnya, dia juga membuat lebih 10 laporan polis namun sehingga sekarang namanya masih belum berjaya dibersihkan.

http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...