Sunday, September 21, 2008

Sarimah, Amir & Kampung



Pengacara yang sinonim dengan jolokan nama Kak Mah Gali, Sarimah Ibrahim terus bercakap tanpa henti. Bicaranya masih sama, petah seperti tahun-tahun awal kemunculannya dulu. Banyak hal yang dikongsi bersama.

Biar berdua, Sarimah masih Sarimah yang dahulu. Si suami di sisi, Amir Andrew Browning, sesekali menyampuk dan ketawa. Mereka serasi dan tampak bahagia. Apatah lagi apabila berbicara hal kehidupan rumah tangga yang telah dikongsi selama dua tahun.

Ditambah dengan keterujaan mereka menyambut Aidilfitri, luah Sarimah yang bersedia untuk berlakon dan kembali menyanyi, Syawal tahun ini adalah paling lengkap, bermakna dan dijangka meriah buat dirinya dan Amir.

"Sebab inilah tahun pertama saya dapat berhari raya lengkap seisi keluarga. Adik-beradik dan ibu bapa saya semua sudah kembali ke Malaysia. Kami akan berkonvoi pulang ke Batu Pahat, Johor, sehari sebelum raya. Jika tidak, nenek akan menjerit," beritahu Sarimah ketawa besar.

Amir pula menyampuk: "Saya mahu makan rendang daging nenek. Saya suka berhari raya di kampung kerana komunitinya ramah dan saling menziarahi. Senario ini sangat berbeza dan tidak dapat saya rasai jika berhari raya di Kuala Lumpur."

Malah pulang ke kampung yang serba kekurangan terutama dari segi kemudahan asas termasuk tiada pendingin hawa, digigit nyamuk dan sesekali dihambat kenakalan kanak-kanak bukan lagi senario asing yang harus dilalui sang suami. Sebaliknya, ia sudah sebati dengan jiwa lelaki Inggeris yang dikenali Sarimah sejak lapan tahun lalu ini.

Kata Sarimah, kampung dan kediaman neneknya adalah medan untuk Amir membiasakan diri dengan budaya Melayu. Lebih daripada itu, di sini juga menjadi lokasi Amir mendalami ilmu agama.

"Saya kerap bawa Amir balik Batu Pahat. Saya nak dia dapat pendedahan yang luas mengenai budaya Melayu. Misalnya ziarah-menziarahi, menghormati orang tua, makan pakai tangan, tidur di lantai juga tinggal di rumah tanpa pendingin hawa.

"Saya juga mahu dia menikmati keindahan suasana kampung. Makan masakan kampung seperti sambal belacan dan tempoyak. Saya mahu dia mengenal semuanya," kata Sarimah sambil dipersetujui Amir yang mengatakan tinggal di kampung seperti pergi berkhemah.

Beritahu Sarimah, apa yang dilakukannya iaitu sentiasa memandu Amir dalam norma adat dan budaya Melayu dengan betul dan tidak mahu Amir tergelincir daripada landasan itu kerana bimbang dipertikaikan.

Katanya juga, dia tidak mengahwini Amir kerana harta atau mahu tampak luar biasa, sebaliknya cinta yang tumbuh dalam hati tidak mengenal bangsa atau warna kulit. Sementelah, bapanya juga bernikah dengan ibunya yang merupakan seorang warga Ireland.

Pun dia akui, inilah cabaran yang digalas olehnya apabila bernikah dengan warga asing. Kerana katanya yang sudah bersiap dari segi mental dan fizikal, khalayak kerap prejudis kepada golongan Melayu yang bernikah dengan individu berbeza bangsa.

Kata Sarimah: "Orang selalu skeptikal kalau kita berkahwin dengan warga asing. Sebab itu, saya berusaha keras untuk memperkenalkan Amir dengan budaya kita. Dan orang selalu kata, bila saya kahwin dengan lelaki Inggeris, ia macam tak kekal lama.

"Pada saya, perkahwinan bukan kerana bangsa. Jika ia tidak kekal, juga bukan sebab Melayu kahwin Melayu atau Melayu kahwin bangsa asing. Tapi ia sebab jodoh dan itu kerja Tuhan." - MALIAH SURIP

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...