Sunday, September 21, 2008

Gadis OKU hilang lepas beli juadah berbuka


JOHOR BAHRU: Seorang ibu merayu kerjasama orang ramai untuk mengesan anak gadisnya yang kurang upaya yang disedarinya hilang selepas dia pulang daripada membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran kediamannya di Taman Daya, di sini, Jumaat lalu.

Suri rumah, Norizah Jamburi, 46, berkata anaknya, Khairuniza Ibrahim, 30, yang mempunyai masalah pendengaran, komunikasi dan tidak mampu berfikir secara normal terpaksa ditinggalkannya di dalam rumah yang berkunci ketika dia keluar untuk ke bazar berkenaan, kira-kira jam 5 petang.

Bagaimanapun, katanya, apabila pulang ke rumah kira-kira setengah jam kemudian, dia mendapati pintu pagar rumah tidak berkunci manakala pintu rumahnya terbuka sebelum mendapati Khairuniza sudah tiada.

“Saya tidak mengambil masa lama untuk berbelanja di bazar itu kerana risaukan keadaan Khairuniza. Sejurus pulang, saya mendapati pintu terbuka dan keadaan itu membuatkan saya cemas serta segera memasuki rumah.

“Bagaimanapun, Khairuniza gagal ditemui selepas saya mencarinya. Saya hanya menemui pakaian yang sudah dipakai mangsa di dalam bilik dan saya percaya dia menukar pakaian sebelum keluar rumah.

“Selain itu, Khairuniza turut membawa semua pakaiannya dan dokumen penting antaranya kad ahli Orang Kurang Upaya (OKU) serta laporan hospital,” katanya.

Norizah berkata, kejadian itu adalah kali pertama berlaku sejak suaminya meninggalkan keluarga pada Disember tahun lalu berikutan enggan menerima kenyataan anak sulung dan bongsunya cacat sebelum mengahwini wanita lain.

“Saya percaya Khairuniza berjaya melepaskan diri melalui kunci pendua kerana dia amat suka dengan tabiat menyelongkar barang di rumah.

“Khairuniza tidak mempunyai rakan dan tidak tahu ke mana hendak dituju, selain tidak pandai menggunakan wang. Saya amat berharap , Khairuniza ditemui semula dan merayu kepada orang yang menemuinya supaya tidak mengapa-apakannya,.

“Orang ramai yang menemui atau mengetahui kedudukannya diminta supaya menghubungi di talian 014-3145620 atau 014-3145296 atau menghantar semula di alamat yang tertera di kad OKUnya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...